HeLaiaN DeMi HeLaiaN

04 September 2011

'Kuliah EID123/3: Raya dan Terapinya kepada Manusia'...(Jam Pertama)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Salam ukhwah buat semua sahabat yang tak jemu-jemu melewati blog ini walaupun yang kerap dipaparkan hanyalah entri-entri lama tanpa pembaharuan. Mohon maaf pada sahabat sekalian kerana diri ini benar-benar ingin memberi namun tiada apa yang berkualiti yang mampu diberi. Diri ini bimbang andai sekadar ingin memberi tanpa melihat kualitinya, malah menambah buruk impaknya pada sahabat semua. Biarlah ditimbang-timbang dahulu isinya.

Rasanya masih belum terlambat apatah lagi terlewat untuk insan ini mengucapkan salam Aidilfitri buat kalian semua. Mohon maaf zahir dan batin andai diri ini ada melakukan khilaf sepanjang blog ini beroperasi dan sepanjang perkenalan kita. Semoga Syawal kali ini merupakan permulaan yang lebih membaik selepas Ramadhan terbaik yang baru meninggalkan kita menuju 10 bulan mendatang yang moga-moganya baik-baik sahaja. :)




Sepanjang Syawal yang baru beberapa hari mengorak langkah ini, alhamdulillah hati ini dibuka seluas-luasnya untuk menemani minda berfikir sewarasnya setiap sesuatu yang berlaku. Alhamdulillah, segala yang dibentangkan Allah kepada diri ini tidaklah sia-sia. Benar, seolah-olah diri ini sedang diberi kuliah langsung daripada Yang Maha Bijaksana.

1 Syawal 1432H

By the end of this lesson, the students should be able to:
- Menentukan baik dan buruknya sesuatu tindakan
- Menentukan kepentingan sesuatu perkara berbanding perkara yang lain
- Memastikan persediaan hati yang cukup sebelum melakukan amal ibadah

Lesson begin:
Hari kemenangan buat umat Islam. Setelah sebulan menahan lapar, dahaga dan nafsu syahwat. Janji Allah itu pasti. Dan sudah pasti tidak lengkap jika tidak disertakan dengan solat sunat hari raya. Alhamdulillah, Syawal kali ini masih lagi diberi kesempatan kepada diri ini untuk menunaikan solat sunat hari raya di surau berhampiran rumah arwah aki.

Di surau yang kecil molek itu, jemaah yang hadir boleh tahan ramainya. Alhamdulillah... Namun, situasi yang tidak diduga berlaku. Apabila keadaan jemaah muslimah yang semakin ramai datang, makcik-makcik di bahagian hadapan mula kecoh. Mula mencari ruang agar semua jemaah punya tempat untuk duduk bertakbir memuji Allah. Alhamdulillah... Sungguh prihatin sekali semuanya.

Namun, sayangnya takbirnya yang entah ke mana, kecoh pula 'mulut' masing-masing ber'zikir' menyusun dan mencari ruang serta memanggil-manggil jemaah yang baru sampai di bahagian belakang untuk segera ke hadapan. Subhanallah... Sungguh bermacam-macam ragam insan ciptaanMu. Hingga, telinga aku juga mulai jauh dari menangkap laungan takbir yang bergema. Allahu akhbar... Saat itu juga, imam solat mula 'mengajar' kembali jemaah cara-cara menunaikan solat sunat hari raya. Sekadar 'refresh' kembali. Jenuh ku cuba membezakan suara imam dan suara mereka.

Sampai-sampai, waktu menyusun saf untuk solat bermula, muncul seorang hamba Allah yang datang dari saf hadapan menuju ke saf belakang sambil mulutnya mengomel,

"Sempit,sempit!"

Nada dan wajahnya seolah-olah mengajuk kata seseorang. Dalam benak fikiranku sudah terfikir, pasti ada yang tidak kena di saf hadapan tadi sehingga makcik yang seorang ini seolah-olah merajuk pula. Lalu, dengan bermanis muka dan nada sedikit memujuk,

"Makcik, marilah," ajakku sambil menepuk sejadah di sebelahku.
"Kosong lagi ke?"

Aku mengangguk sambil tersenyum padanya. Semoga terubat sedikit amarah dalam hatinya. Amin... Dan saat solat dimulai, laungan 'Allahu akhbar' dilafaz sang imam kala takbiratul ihram. Diikuti dengan lafaz 'Allahu akhbar' sekali lagi. Dan tika itu, kelihatan sebahagian badan jemaah ada yang mulai membengkok untuk rukuk. Dan aku...

'Subhanallah walhamdulillah wa laa ilahailallah waallahu akhbar...'


31 July 2011

Teman Itu...

Pernah suatu ketika dahulu

Kala diri seolah mula mengenal erti sebuah kehidupan

Diri ini didatangi seorang teman

Seorang teman yang amat baik budi pekertinya

Seorang teman yang amat santun tingkah lakunya

Seorang teman yang amat suci jiwa dan raganya

Hadirnya kala itu tidak pernah ku tunggu

Maka…bagaikan orang yang tidak mengantuk disorongkan bantal

Kebaikannya tidak pernah ku syukuri

Tidak pernah ku hargai

Tidak pernah ku endahkan.


Detik terusan berdetik

Hari bertukar hari

Tahun berganti tahun.


Diri ini mula mengenal erti kehidupan yang sebenar

Baru ku sedari silapku

Baru ku sedari salahku

Baru ku sedari khilafku.


Kini…

Di setiap untaian tasbih doaku

Pasti terselit seungkap impian

Agar dipertemukan kembali diri ini

Dengan teman itu

Seorang teman yang benar-benar akan lebih mengajarku

Erti sebuah kehidupan

Seorang teman yang pastikan memberi segala-galanya

Buatku yang dhaif ini

Seorang teman yang hanya akan hadir

Saat diri benar-benar menyedari akan kehadirannya.


Teman itu…

Benar-benar memberiku seribu satu kebaikan

Teman itu…

Pastikan membantuku menggapai cinta Ilahi

Teman itu…

Seharusnya lebih ku rindui berbanding teman yang lain

Teman itu adalah Ramadan…


Ya Allah…

Sampaikanlah aku kepada RamadanMu

Agar dapat ku tebus kembali

Kesilapan lalu

Agar dapat ku singkap kembali

Rahmah dan barakah yang Kau limpahkan

Sejak dahulu lagi

Agar…

Diri ini menjadi hambaMu yang bertakwa…


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [Al-Baqarah:183]


salam ramadan kareem buat semua~

08 July 2011

Muhasabah : Di Kala Sunnah Mula Dilupakan...



Sahabat…

Mari kita renungi bersama kehidupan kita sehingga detik ini..

Sejauhmanakah kita telah menerapkan sunnah-sunnah Rasulullah..?

Sejauhmanakah kita telah menunjukkan qudwah hasanah sebagai Muslim..?

Dan…

Sejauhmanakah kita telah menghargai nilai-nilai murni yang ditinggalkan oleh Rasulullah buat kita..?

Atau adakah bekalan yang ditinggalkan itu hanya sekadar bekalan..

Tersisip rapi tidak terusik dalam catatan sirah..


Duhai sahabat…

Kita semua insan berilmu..

Punya akal dan hati nan telus..

Sudah pasti setiap dari kita di sini mengenal persis siapa itu Muhammad bin Abdullah..

Walau wajahnya tidak pernah ditatap..

Namun, yakinlah..

Dalam relung hati kita pasti tersirat sebuah permata kasih buat insan ini..


Namun sahabat…

Cuba kita selak sebentar jendela hati kita..

Cuba kita selami seketika lautan jiwa kita..

Adakah permata kasih itu masih wujud di sana..?

Adakah ia masih berkilau menebarkan Nur indah di situ..?

Atau adakah ia sudah kepudaran seri warnanya..?

Atau mungkinkah..

Mungkinkah permata kasih yang kita simpan kejap2 itu, sudah hilang..

Mengecil dan mengecil, lalu menghilang..


Tegakah kita wahai sahabat..?

Tegakah kita melihat bergenangnya air mata kekasih Allah ini..?

Saat baginda mengetahui umatnya kini kian melupakannya..

Tegakah kita melihat air matanya mulai menitis..?

Tika baginda menyedari sunnahnya sudah tidak lagi diikuti..


Sahabat yang kusayangi…

Mari kita telusuri lorong-lorong sirah bersama..

Kita singkap kembali detik-detik mencemaskan kala itu..

Di saat malaikat maut sudah mula menjengah Rasul junjungan kita..

Di saat janji Allah bakal termatri..

Di saat peluh bercucuran membasahi tubuh dek kesakitan yang tidak tertahan..

Apakah kalimat yang terpancul keluar dari bibir insan mulia itu..?

Apakah kata-kata yang menjadi bukti cinta baginda..?

Apakah ucapan terakhir yang terzahir dari mulut baginda..?

Tiada yang lain duhai sahabatku…

Ummati…Ummati…Ummati…


Subhanallah…

Hebat sungguh cinta Rasulullah kepada umatnya..

Besar sungguh rindu Rasulullah kepada saudaranya yang dipanggil ikhwan..

Sehingga dicemburui oleh para sahabat..

Namun tahukah kita bahawa umat itu adalah kita..?

Sedarkah kita bahawa ikhwan itu adalah kita..

Atau mungkin kita tahu malah sedar…tetapi kita lupa…


Sahabatku yang disayangi Nabi…

Ingin ku sentuh hatimu dengan penuh kasih-sayang..

Mari kita contohi Rasulullah dalam amalan seharian kita..

Jadilah kita seperti insan-insan yang pernah dekat dengannya..

Seperti Siti Khadijah, mendokong suaminya di saat dunia mendustakan..

Seperti Abu Bakar As-Siddiq, membenar kata-kata Rasulullah di kala yang lain meragui..

Seperti Sumayyah, teguh hingga rela berkorban demi Islam tercinta…

Seperti Bilal bin Rabah, biar dibakar mentari demi Allahu Ahad..


Sahabatku…

Yakinlah bahawa dengan mengamalkan sunnah baginda..

Kita bahkan semakin dekat dengan Pencipta yang Agung..

Ini bukan sekadar bicara kosong..

Ini bicara penuh berisi..

Kerana cinta kepada Rasulullah bererti cinta kepada Allah…


Duhai sahabat..

Bukalah hatimu kini..

Tebarkan rasa kasihmu pada Rasulullah..

Biar detik ini menjadi saksi cintamu kepada kekasih Allah…




22 June 2011

Awas! Kamu Sedang Diawasi...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Melihat kepada tajuknya, sudah cukup mengerunkan dan bisa membuatkan kita tertanya-tanya. Diawasi oleh siapa? InsyaAllah, jawapannya akan ditemui di penghujung kisah ini.

Kisah 1
Tersebutlah sebuah kisah di zaman dahulu... Kisah yang berkisar tentang seorang budak yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pada zaman tersebut, negeri yang didiami oleh budak itu dipimpin oleh seorang pemerintah yang sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Pemimpin tersebut sering kali membuat rodaan di kawasan tempat tinggal rakyatnya untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku pada rakyatnya.

Pada suatu hari, sedang pemimpin tersebut membuat rondaan di kawasan kampung, dia terlihat akan seorang budak lelaki yang sedang mengembala kambing. Pemimpin tersebut lalu berhasrat untuk menguji ketaatan budak tersebut terhadap tuannya. Lalu, pemimpin tersebut bergerak mendekati budak itu.

Setibanya berdekatan dengan budak itu, pemimpin tersebut lalu menyapanya dan menyatakan hasratnya untuk membeli kambing yang dijaga itu. Setelah berfikir, budak itu menolak hajat pemimpin tersebut kerana dia menyatakan bahawa kambing itu adalah kepunyaan tuannya. Maka, dia tidak boleh untuk menjualkannya sesuka hati. Andai tuannya mengetahui tentang hal itu, pasti dia akan dimarahi.

Pemimpin masih lagi mencari helah untuk menguji ketaatan budak itu. Lalu, dia menyambung pujukan dengan menyatakan bahawa tuannya tidak akan tahu seandainya tidak diberitahu perkara yang sebenar. Jika dikatakan bahawa kambing itu hilang atau telah dimakan oleh serigala, pasti tuannya akan percaya. Pemimpin tersebut malah telah menawarkan harga yang tinggi untuk membeli kambing itu.

Namun, buat ke sekian kalinya budak itu masih menolak hajat pemimpin tersebut. Dia menjawab, "Benar, tuan aku mungkin tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu."

Setelah berpuas hati dengan jawapan dari budak itu, pemimpin tersebut pun kembali pulang ke istananya dan mengarahnya pegawainya untuk memanggil budak itu menghadapnya di istana. Pada saat ketibaan budak itu si istana, barulah dia mengetahui bahawa lelaki yang ingin membeli
kambing darinya itu adalah pemimpin negeri. Atas rasa kagum dengan sikap budak itu yang sangat taat pada tuannya, lebih-lebih lagi rasa takut pada Tuhannya, maka pemimpin tersebut memberikan hadiah kepada budak itu. Pemimpin tersebut memuji sifatnya dan mengharapkan agar budak itu dapat terus mengekalkan sifatnya yang mulia itu. Pemimpin tersebut adalah Khalifah Umar al-Khattab.

Kisah 2
Semasa zaman dahulu, terdapat seorang guru yang amat dikenali dengan ilmunya yang luas. Guru ini mempunyai ramai anak murid, namun dalam sekian ramainya anak murid dia, ada seorang anak murid yang menjadi kesayangannya. Hal ini sudah mula disedari oleh kebanyakan anak muridnya yang lain. Mulalah timbul rasa cemburu dan iri hati terhadap anak murid kesayangan guru mereka ini. Sehinggakan sampai suatu masa, perkara ini sampai ke telinga gurunya sendiri.

Guru tersebut berfikir-fikir untuk menyelesaikan masalah ini agar anak muridnya yang lain sedar hakikat sebenar mengapa dia bersikap begitu dengan anak murid kesayangannya. Pada suatu hari, si guru pun mengumpulkan semua anak muridnya. Dia memberikan seekor burung merpati kepada setiap seorang anak muridnya dan mengarahkan mereka untuk menyembelih burung tersebut di suatu tempat yang tidak terlihat oleh sesiapa pun. Dia memberikan suatu tempoh masa untuk anak muridnya menyelesaikan tugasan ini.

Setelah tempoh masa yang diberikan sudah berlalu, semua anak murid guru tersebut berkumpul kembali dengan mebawa bersama mereka bangkai burung merpati yang sudah siap disembelih. Namun, hanya seorang sahaja anak murid yang masih tidak menyembelihkan burung merpati itu dan dia adalah anak murid kesayangan guru mereka. Hal ini telah menimbulkan suasana yang membuatkan anak murid yang lain merasa bangga dan yakin bahawa anak murid kesayangan guru mereka itu pasti akan dimarahi kerana tidak mengikut arahan.

Melihatkan keadaan itu, si guru pun bertanya kepada anak murid kesayangannya mengapa tidak mengikuti arahannya. Lalu, dengan wajah yang tertunduk dia pun menjawab, "Maafkan saya, guru. Saya tidak mampu untuk mengikuti arahan yang guru berikan. Ini kerana sudah puas saya mencari tempat yang sesuai untuk menyembelihnya tetapi tiada satu pun tempat yang tidak terlihat oleh Allah."

Mendengar penjelasan anak murid kesayangannya itu, si gurur tersenyum puas. Anak muridnya yang lain terdiam dan mula memahami hal yang sebenar mengapa gurunya lebih menyayangi si dia berbanding mereka.


Jika direnung kembali tentang kisah di atas, betapa mulia dan bersihnya hati budak-budak itu. Mereka amat takut andai apa yang dibuatnya nanti bakal diketahui oleh Allah. Dan jelaslah bahawa mereka amat yakin akan adanya pengawasan daripada Allah ke atas diri mereka. Subhanallah... Sangat menakjubkan bagi seorang budak untuk bersifat sebegitu. Reflekslah kembali kepada diri kita yang sudah hidup berapa tahun di dunia ini. Koreksilah kembali diri kita ini yang pada lisannya gagah mengaku percayakan Allah, namun sejauh manakah keyakinan kita tentang pengawasan Allah (muraqabatullah)?

"Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." [Al-Hadid : 4]

Sesungguhnya keimanan yang paling utama adalah mengetahui dan menyedari bahawa Allah bersama-sama kita di mana pun kita berada. Dan percayalah bahawa andai keyakinan ini benar-benar terpasak di hati setiap Muslim di dunia ini, pasti tiada lagi maksiat yang akan berlaku dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka sentiasa berwaspada dengan CCTV Allah yang sentiasa berada di mana-mana sudut sekali pun.



Hasil dari keyakinan terhadap pengawasan Allah ini bakal memberi impak yang maksimum kepada individu tersebut. Nilai jujur dan ikhlas dalam diri akan tersemai dengan subur serta keistiqamahan dalam berbuat sesuatu amalan akan jelas terpapar dalam tingkahlakunya. Kesannya, nilai ihsan akan mulai hidup mekar dalam jiwa individu Muslim itu. Subhanallah... Di setiap perbuatannya, dia bakal merasakan seolah-olah dia melihat Allah. Dan walaupun dia tidak melihatNya, dia yakin sekali bahawa Allah sentiasa melihatnya. Itulah nilai ihsan. Subhanallah...

Maka, ayuh sahabat sekalian. Kita sama-sama tingkatkan keimanan kita kepada Allah. Sama-samalah kita mantopkan keyakinan kita terhadap pengawasan Allah. Yakinlah bahawa, Allah tu sentiasa ada dengan kita. Berwaspadalah dengan setiap tingkahlaku mu. Berfikirlah sebelum bertindak. Apa Allah redha atau pun tidak. Awas! Kamu sedang diawasi... Wassalam~