HeLaiaN DeMi HeLaiaN

09 December 2011

Usaha Tangga Kejayaan..

In The Name of Allah The Most Gracious, The Most Merciful

Salam sejahtera, salam ukhwah dan bertemu kembali di alam maya. Salam kemaafan andai tiada yang bermanfaat dari diri buat pembaca dan sahabat. Mungkin ia menjadi refleksi dari amalan dan maksiat yang dilakukan oleh diri ini.

Usaha tangga kejayaan. Satu frasa yang acap kali kita dengar saat para sahabat memberikan semangat kepada diri kita untuk berubah. Kita juga seolah-olah sudah 'lali' dengan frasa ini. Bahkan, boleh juga terjadi frasa ini seakan tidak memberi sebarang kesan lagi kepada kita. Ibaratnya seperti seseorang yang sudah terbiasa makan ubat dengan suatu kadar dos, lama kelamaan dos tersebut sudah tidak lagi memberi kesan kepada kesihatannya. Mungkin perlu ditambahkan dos kepada yang lebih tinggi.

Namun, jika kita singkap kembali erti di sebalik tiga perkataan ini pasti kita akan temui suatu maksud. Maksud yang sebenar-benarnya yang ingin disampaikan.

Usaha Tangga Kejayaan

Saifullah: Salam. Cikgu apa khabar? Lama tak dengar khabar? Sibuk ya?
Cikgu: Sihat, alhamdulillah. Sibuk juga. Banyak kerja yang kena 'settle' kan.
Saifullah: Oh. Samalah dengan saya. BAnyak betul kerja sekarang ni. Tense!
Cikgu: Bila exam nya?
Saifullah: Bulan 1, cikgu. Sekarang sibuk dengan test, presentation etc.
Cikgu: Oh, tak apa lah. teruskan usaha. USAHA TANGGA KEJAYAAN. Tangga orang guna untuk capai tempat tinggi.

Mengapa Tangga?

Benar. Mengapa tangga yang diambil sebagai perumpamaan? Mengapa tidak ambil pintu saja sebagai perumpamaan. Atau lebih mudah adalah kunci. Bukankah lebih senang dan cantik perumpamaannya?

Kerana tangga itu untuk mencapai tempat yang tinggi. Maka, kejayaan itu adalah sesuatu yang tinggi. Bukan sekadar keinginan atau kemahuan yang kecil, tetapi ia adalah impian yang besar dan tinggi. Harus! Harus menggunakan tangga untuk mencapainya.



Mengapa Tidak Lif atau Tangga Bergerak?

Jika begitu, mengapa tidak gunakan lif atau tangga bergerak sahaja? Bukankah item ini juga digunakan untuk ke tempat yang tinggi? Adakah kerana perumpamaan ini direka semasa zaman dahulu yang belum terwujud lagi lif dan tangga bergerak? Mungkin juga, tapi yakinlah bahawa ada maksud tersirat yang ingin disampaikan.

Dengan menggunakan tangga, kita perlu untuk menggunakan tenaga dan kudrat yang ada. Satu per satu anak tangga didaki demi mencapai puncak yang tertinggi. Begitulah juga dengan diri kita dalam ingin mencapai kejayaan. Usaha itu bukan semudah menekan butang di lif. Atau semudah menapak satu anak tangga di tangga bergerak. Usaha itu adalah sesuatu yang lebih dari itu. Usah itu adalah apabila kita merasai kepayahan dan kesusahannya. Dan yakinlah, dipengakhirannya nati adalah kemanisan kejayaan yang kita idamkan.



Konklusi

Usaha menuntun kepada pengorbanan diri demi mencapai matlamat dan tujuan kita. Maka, letaklah matlamat diri setinggi-tingginya dan gapailah matlamat itu dengan dakian usaha yang bersungguh-sungguh.


"Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal."
[Ali-Imran: 106]



04 September 2011

'Kuliah EID123/3: Raya dan Terapinya kepada Manusia'...(Jam Pertama)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Salam ukhwah buat semua sahabat yang tak jemu-jemu melewati blog ini walaupun yang kerap dipaparkan hanyalah entri-entri lama tanpa pembaharuan. Mohon maaf pada sahabat sekalian kerana diri ini benar-benar ingin memberi namun tiada apa yang berkualiti yang mampu diberi. Diri ini bimbang andai sekadar ingin memberi tanpa melihat kualitinya, malah menambah buruk impaknya pada sahabat semua. Biarlah ditimbang-timbang dahulu isinya.

Rasanya masih belum terlambat apatah lagi terlewat untuk insan ini mengucapkan salam Aidilfitri buat kalian semua. Mohon maaf zahir dan batin andai diri ini ada melakukan khilaf sepanjang blog ini beroperasi dan sepanjang perkenalan kita. Semoga Syawal kali ini merupakan permulaan yang lebih membaik selepas Ramadhan terbaik yang baru meninggalkan kita menuju 10 bulan mendatang yang moga-moganya baik-baik sahaja. :)




Sepanjang Syawal yang baru beberapa hari mengorak langkah ini, alhamdulillah hati ini dibuka seluas-luasnya untuk menemani minda berfikir sewarasnya setiap sesuatu yang berlaku. Alhamdulillah, segala yang dibentangkan Allah kepada diri ini tidaklah sia-sia. Benar, seolah-olah diri ini sedang diberi kuliah langsung daripada Yang Maha Bijaksana.

1 Syawal 1432H

By the end of this lesson, the students should be able to:
- Menentukan baik dan buruknya sesuatu tindakan
- Menentukan kepentingan sesuatu perkara berbanding perkara yang lain
- Memastikan persediaan hati yang cukup sebelum melakukan amal ibadah

Lesson begin:
Hari kemenangan buat umat Islam. Setelah sebulan menahan lapar, dahaga dan nafsu syahwat. Janji Allah itu pasti. Dan sudah pasti tidak lengkap jika tidak disertakan dengan solat sunat hari raya. Alhamdulillah, Syawal kali ini masih lagi diberi kesempatan kepada diri ini untuk menunaikan solat sunat hari raya di surau berhampiran rumah arwah aki.

Di surau yang kecil molek itu, jemaah yang hadir boleh tahan ramainya. Alhamdulillah... Namun, situasi yang tidak diduga berlaku. Apabila keadaan jemaah muslimah yang semakin ramai datang, makcik-makcik di bahagian hadapan mula kecoh. Mula mencari ruang agar semua jemaah punya tempat untuk duduk bertakbir memuji Allah. Alhamdulillah... Sungguh prihatin sekali semuanya.

Namun, sayangnya takbirnya yang entah ke mana, kecoh pula 'mulut' masing-masing ber'zikir' menyusun dan mencari ruang serta memanggil-manggil jemaah yang baru sampai di bahagian belakang untuk segera ke hadapan. Subhanallah... Sungguh bermacam-macam ragam insan ciptaanMu. Hingga, telinga aku juga mulai jauh dari menangkap laungan takbir yang bergema. Allahu akhbar... Saat itu juga, imam solat mula 'mengajar' kembali jemaah cara-cara menunaikan solat sunat hari raya. Sekadar 'refresh' kembali. Jenuh ku cuba membezakan suara imam dan suara mereka.

Sampai-sampai, waktu menyusun saf untuk solat bermula, muncul seorang hamba Allah yang datang dari saf hadapan menuju ke saf belakang sambil mulutnya mengomel,

"Sempit,sempit!"

Nada dan wajahnya seolah-olah mengajuk kata seseorang. Dalam benak fikiranku sudah terfikir, pasti ada yang tidak kena di saf hadapan tadi sehingga makcik yang seorang ini seolah-olah merajuk pula. Lalu, dengan bermanis muka dan nada sedikit memujuk,

"Makcik, marilah," ajakku sambil menepuk sejadah di sebelahku.
"Kosong lagi ke?"

Aku mengangguk sambil tersenyum padanya. Semoga terubat sedikit amarah dalam hatinya. Amin... Dan saat solat dimulai, laungan 'Allahu akhbar' dilafaz sang imam kala takbiratul ihram. Diikuti dengan lafaz 'Allahu akhbar' sekali lagi. Dan tika itu, kelihatan sebahagian badan jemaah ada yang mulai membengkok untuk rukuk. Dan aku...

'Subhanallah walhamdulillah wa laa ilahailallah waallahu akhbar...'


31 July 2011

Teman Itu...

Pernah suatu ketika dahulu

Kala diri seolah mula mengenal erti sebuah kehidupan

Diri ini didatangi seorang teman

Seorang teman yang amat baik budi pekertinya

Seorang teman yang amat santun tingkah lakunya

Seorang teman yang amat suci jiwa dan raganya

Hadirnya kala itu tidak pernah ku tunggu

Maka…bagaikan orang yang tidak mengantuk disorongkan bantal

Kebaikannya tidak pernah ku syukuri

Tidak pernah ku hargai

Tidak pernah ku endahkan.


Detik terusan berdetik

Hari bertukar hari

Tahun berganti tahun.


Diri ini mula mengenal erti kehidupan yang sebenar

Baru ku sedari silapku

Baru ku sedari salahku

Baru ku sedari khilafku.


Kini…

Di setiap untaian tasbih doaku

Pasti terselit seungkap impian

Agar dipertemukan kembali diri ini

Dengan teman itu

Seorang teman yang benar-benar akan lebih mengajarku

Erti sebuah kehidupan

Seorang teman yang pastikan memberi segala-galanya

Buatku yang dhaif ini

Seorang teman yang hanya akan hadir

Saat diri benar-benar menyedari akan kehadirannya.


Teman itu…

Benar-benar memberiku seribu satu kebaikan

Teman itu…

Pastikan membantuku menggapai cinta Ilahi

Teman itu…

Seharusnya lebih ku rindui berbanding teman yang lain

Teman itu adalah Ramadan…


Ya Allah…

Sampaikanlah aku kepada RamadanMu

Agar dapat ku tebus kembali

Kesilapan lalu

Agar dapat ku singkap kembali

Rahmah dan barakah yang Kau limpahkan

Sejak dahulu lagi

Agar…

Diri ini menjadi hambaMu yang bertakwa…


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [Al-Baqarah:183]


salam ramadan kareem buat semua~

08 July 2011

Muhasabah : Di Kala Sunnah Mula Dilupakan...



Sahabat…

Mari kita renungi bersama kehidupan kita sehingga detik ini..

Sejauhmanakah kita telah menerapkan sunnah-sunnah Rasulullah..?

Sejauhmanakah kita telah menunjukkan qudwah hasanah sebagai Muslim..?

Dan…

Sejauhmanakah kita telah menghargai nilai-nilai murni yang ditinggalkan oleh Rasulullah buat kita..?

Atau adakah bekalan yang ditinggalkan itu hanya sekadar bekalan..

Tersisip rapi tidak terusik dalam catatan sirah..


Duhai sahabat…

Kita semua insan berilmu..

Punya akal dan hati nan telus..

Sudah pasti setiap dari kita di sini mengenal persis siapa itu Muhammad bin Abdullah..

Walau wajahnya tidak pernah ditatap..

Namun, yakinlah..

Dalam relung hati kita pasti tersirat sebuah permata kasih buat insan ini..


Namun sahabat…

Cuba kita selak sebentar jendela hati kita..

Cuba kita selami seketika lautan jiwa kita..

Adakah permata kasih itu masih wujud di sana..?

Adakah ia masih berkilau menebarkan Nur indah di situ..?

Atau adakah ia sudah kepudaran seri warnanya..?

Atau mungkinkah..

Mungkinkah permata kasih yang kita simpan kejap2 itu, sudah hilang..

Mengecil dan mengecil, lalu menghilang..


Tegakah kita wahai sahabat..?

Tegakah kita melihat bergenangnya air mata kekasih Allah ini..?

Saat baginda mengetahui umatnya kini kian melupakannya..

Tegakah kita melihat air matanya mulai menitis..?

Tika baginda menyedari sunnahnya sudah tidak lagi diikuti..


Sahabat yang kusayangi…

Mari kita telusuri lorong-lorong sirah bersama..

Kita singkap kembali detik-detik mencemaskan kala itu..

Di saat malaikat maut sudah mula menjengah Rasul junjungan kita..

Di saat janji Allah bakal termatri..

Di saat peluh bercucuran membasahi tubuh dek kesakitan yang tidak tertahan..

Apakah kalimat yang terpancul keluar dari bibir insan mulia itu..?

Apakah kata-kata yang menjadi bukti cinta baginda..?

Apakah ucapan terakhir yang terzahir dari mulut baginda..?

Tiada yang lain duhai sahabatku…

Ummati…Ummati…Ummati…


Subhanallah…

Hebat sungguh cinta Rasulullah kepada umatnya..

Besar sungguh rindu Rasulullah kepada saudaranya yang dipanggil ikhwan..

Sehingga dicemburui oleh para sahabat..

Namun tahukah kita bahawa umat itu adalah kita..?

Sedarkah kita bahawa ikhwan itu adalah kita..

Atau mungkin kita tahu malah sedar…tetapi kita lupa…


Sahabatku yang disayangi Nabi…

Ingin ku sentuh hatimu dengan penuh kasih-sayang..

Mari kita contohi Rasulullah dalam amalan seharian kita..

Jadilah kita seperti insan-insan yang pernah dekat dengannya..

Seperti Siti Khadijah, mendokong suaminya di saat dunia mendustakan..

Seperti Abu Bakar As-Siddiq, membenar kata-kata Rasulullah di kala yang lain meragui..

Seperti Sumayyah, teguh hingga rela berkorban demi Islam tercinta…

Seperti Bilal bin Rabah, biar dibakar mentari demi Allahu Ahad..


Sahabatku…

Yakinlah bahawa dengan mengamalkan sunnah baginda..

Kita bahkan semakin dekat dengan Pencipta yang Agung..

Ini bukan sekadar bicara kosong..

Ini bicara penuh berisi..

Kerana cinta kepada Rasulullah bererti cinta kepada Allah…


Duhai sahabat..

Bukalah hatimu kini..

Tebarkan rasa kasihmu pada Rasulullah..

Biar detik ini menjadi saksi cintamu kepada kekasih Allah…




22 June 2011

Awas! Kamu Sedang Diawasi...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Melihat kepada tajuknya, sudah cukup mengerunkan dan bisa membuatkan kita tertanya-tanya. Diawasi oleh siapa? InsyaAllah, jawapannya akan ditemui di penghujung kisah ini.

Kisah 1
Tersebutlah sebuah kisah di zaman dahulu... Kisah yang berkisar tentang seorang budak yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pada zaman tersebut, negeri yang didiami oleh budak itu dipimpin oleh seorang pemerintah yang sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Pemimpin tersebut sering kali membuat rodaan di kawasan tempat tinggal rakyatnya untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku pada rakyatnya.

Pada suatu hari, sedang pemimpin tersebut membuat rondaan di kawasan kampung, dia terlihat akan seorang budak lelaki yang sedang mengembala kambing. Pemimpin tersebut lalu berhasrat untuk menguji ketaatan budak tersebut terhadap tuannya. Lalu, pemimpin tersebut bergerak mendekati budak itu.

Setibanya berdekatan dengan budak itu, pemimpin tersebut lalu menyapanya dan menyatakan hasratnya untuk membeli kambing yang dijaga itu. Setelah berfikir, budak itu menolak hajat pemimpin tersebut kerana dia menyatakan bahawa kambing itu adalah kepunyaan tuannya. Maka, dia tidak boleh untuk menjualkannya sesuka hati. Andai tuannya mengetahui tentang hal itu, pasti dia akan dimarahi.

Pemimpin masih lagi mencari helah untuk menguji ketaatan budak itu. Lalu, dia menyambung pujukan dengan menyatakan bahawa tuannya tidak akan tahu seandainya tidak diberitahu perkara yang sebenar. Jika dikatakan bahawa kambing itu hilang atau telah dimakan oleh serigala, pasti tuannya akan percaya. Pemimpin tersebut malah telah menawarkan harga yang tinggi untuk membeli kambing itu.

Namun, buat ke sekian kalinya budak itu masih menolak hajat pemimpin tersebut. Dia menjawab, "Benar, tuan aku mungkin tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu."

Setelah berpuas hati dengan jawapan dari budak itu, pemimpin tersebut pun kembali pulang ke istananya dan mengarahnya pegawainya untuk memanggil budak itu menghadapnya di istana. Pada saat ketibaan budak itu si istana, barulah dia mengetahui bahawa lelaki yang ingin membeli
kambing darinya itu adalah pemimpin negeri. Atas rasa kagum dengan sikap budak itu yang sangat taat pada tuannya, lebih-lebih lagi rasa takut pada Tuhannya, maka pemimpin tersebut memberikan hadiah kepada budak itu. Pemimpin tersebut memuji sifatnya dan mengharapkan agar budak itu dapat terus mengekalkan sifatnya yang mulia itu. Pemimpin tersebut adalah Khalifah Umar al-Khattab.

Kisah 2
Semasa zaman dahulu, terdapat seorang guru yang amat dikenali dengan ilmunya yang luas. Guru ini mempunyai ramai anak murid, namun dalam sekian ramainya anak murid dia, ada seorang anak murid yang menjadi kesayangannya. Hal ini sudah mula disedari oleh kebanyakan anak muridnya yang lain. Mulalah timbul rasa cemburu dan iri hati terhadap anak murid kesayangan guru mereka ini. Sehinggakan sampai suatu masa, perkara ini sampai ke telinga gurunya sendiri.

Guru tersebut berfikir-fikir untuk menyelesaikan masalah ini agar anak muridnya yang lain sedar hakikat sebenar mengapa dia bersikap begitu dengan anak murid kesayangannya. Pada suatu hari, si guru pun mengumpulkan semua anak muridnya. Dia memberikan seekor burung merpati kepada setiap seorang anak muridnya dan mengarahkan mereka untuk menyembelih burung tersebut di suatu tempat yang tidak terlihat oleh sesiapa pun. Dia memberikan suatu tempoh masa untuk anak muridnya menyelesaikan tugasan ini.

Setelah tempoh masa yang diberikan sudah berlalu, semua anak murid guru tersebut berkumpul kembali dengan mebawa bersama mereka bangkai burung merpati yang sudah siap disembelih. Namun, hanya seorang sahaja anak murid yang masih tidak menyembelihkan burung merpati itu dan dia adalah anak murid kesayangan guru mereka. Hal ini telah menimbulkan suasana yang membuatkan anak murid yang lain merasa bangga dan yakin bahawa anak murid kesayangan guru mereka itu pasti akan dimarahi kerana tidak mengikut arahan.

Melihatkan keadaan itu, si guru pun bertanya kepada anak murid kesayangannya mengapa tidak mengikuti arahannya. Lalu, dengan wajah yang tertunduk dia pun menjawab, "Maafkan saya, guru. Saya tidak mampu untuk mengikuti arahan yang guru berikan. Ini kerana sudah puas saya mencari tempat yang sesuai untuk menyembelihnya tetapi tiada satu pun tempat yang tidak terlihat oleh Allah."

Mendengar penjelasan anak murid kesayangannya itu, si gurur tersenyum puas. Anak muridnya yang lain terdiam dan mula memahami hal yang sebenar mengapa gurunya lebih menyayangi si dia berbanding mereka.


Jika direnung kembali tentang kisah di atas, betapa mulia dan bersihnya hati budak-budak itu. Mereka amat takut andai apa yang dibuatnya nanti bakal diketahui oleh Allah. Dan jelaslah bahawa mereka amat yakin akan adanya pengawasan daripada Allah ke atas diri mereka. Subhanallah... Sangat menakjubkan bagi seorang budak untuk bersifat sebegitu. Reflekslah kembali kepada diri kita yang sudah hidup berapa tahun di dunia ini. Koreksilah kembali diri kita ini yang pada lisannya gagah mengaku percayakan Allah, namun sejauh manakah keyakinan kita tentang pengawasan Allah (muraqabatullah)?

"Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." [Al-Hadid : 4]

Sesungguhnya keimanan yang paling utama adalah mengetahui dan menyedari bahawa Allah bersama-sama kita di mana pun kita berada. Dan percayalah bahawa andai keyakinan ini benar-benar terpasak di hati setiap Muslim di dunia ini, pasti tiada lagi maksiat yang akan berlaku dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka sentiasa berwaspada dengan CCTV Allah yang sentiasa berada di mana-mana sudut sekali pun.



Hasil dari keyakinan terhadap pengawasan Allah ini bakal memberi impak yang maksimum kepada individu tersebut. Nilai jujur dan ikhlas dalam diri akan tersemai dengan subur serta keistiqamahan dalam berbuat sesuatu amalan akan jelas terpapar dalam tingkahlakunya. Kesannya, nilai ihsan akan mulai hidup mekar dalam jiwa individu Muslim itu. Subhanallah... Di setiap perbuatannya, dia bakal merasakan seolah-olah dia melihat Allah. Dan walaupun dia tidak melihatNya, dia yakin sekali bahawa Allah sentiasa melihatnya. Itulah nilai ihsan. Subhanallah...

Maka, ayuh sahabat sekalian. Kita sama-sama tingkatkan keimanan kita kepada Allah. Sama-samalah kita mantopkan keyakinan kita terhadap pengawasan Allah. Yakinlah bahawa, Allah tu sentiasa ada dengan kita. Berwaspadalah dengan setiap tingkahlaku mu. Berfikirlah sebelum bertindak. Apa Allah redha atau pun tidak. Awas! Kamu sedang diawasi... Wassalam~

01 June 2011

Kau Pergi Jua...

Salam...
Detik 7.25pm pada tanggal 29 Mei 2011, arwah Abu Bakar Mohd Rashid telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di teratak impiannya, Lot 643 Sg. Jan, Jerantut, Pahang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan diredhaiNya yang telah dijanjikan syurga buat mereka.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri,koreksi diri, sejauh mana lagi kita mampu berjalan di muka bumi Allah ini. Sampai masa kelak, kita pula akan menghadap Yang Esa. Talkin yang dibaca buat si mati, biarlah menjadi pedoman buat sang insan yang masih bernyawa. Semoga iringan langkah ke pusara memberi seribu satu peringatan dan keinsafan dalam relung hati dan jiwa.

Buatmu aki. InsyaAllah, Nina akan sentiasa doakan aki di sana. Semoga segala urusan aki di alam sana dipermudahkan. Maafkan Nina, aki. Andai semasa menjaga aki di hospital dulu ada kekasaran yang berlaku. Benar, tahap kesabaran Nina masih senipis kulit bawang. Aki, kenangan bersamamu akan terus terpahat dalam memori Nina. Selamatlah kau di sana, duhai aki~~~

...Wassalam...

10 May 2011

Gelombang Keadilan...

By: Shoutul Harokah

Kan melangkah kaki dengan pasti
Menerobos segala onak duri
Generasi baru yang telah dinanti
Tak takut dicaci tak gentar mati

Bagai gelombang terus menerjang
Tuk tumbangkan segala kezaliman
Dengan tulus ikhlas untuk keadilan
Hingga pertiwi gapai sejahtera

Takkan surut walau selangkah
Takkan henti walau sejenak
Cita kami hidup mulia
Atau syahid mendapat syurga



Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 3)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Khurasan, pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kerajaan Abasiyah di Baghdad. Namun, penduduknya menuntut untuk memerintah sendiri negeri mereka. Negeri tersebut di perintah oleh golongan pengikut mazhab Hanafi dan ditentang oleh golongan pengikut mazhab Syafie. Kewujudan dua golongan dalam negeri ini menimbulkan pepecahan dan hampir membawa kepada peperangan sesama sendiri. Akibatnya, salah seorang pengikut mazhab Hanafi telah tekad mengambil keputusan untuk meminta bantuan tentera Monggol bagi mengalahkan golongan penentang.

"Saya pengikut mazhab Hanafi. Kami mahu pengikut mazhab Syafie dihaspuskan dari Khurasan dan kami sedia membantu."

Setelah berbincang dengan ketua tentera Monggol, persetujuan berlaku antara Hulagu Khan dan Nasir Lidinillah selaku wakil dari golongan bermazhab Hanafi. Penaklukan terhadap Khurasan pun berlaku dengan mudah tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Hulagu Khan telah melantik Nasir Lidinillah sebagai pemerintah di negeri itu.

Dengan berlakunya penaklukan yang pantas terhadap wilayah Lurs, Hashasim dan Khurasan, ini menimbulkan perasaan gerun terhadap gabenor di wilayah Anadol dan Mosul. Impaknya, kedua-dua gabenor bagi wilayah ini telah menjalinkan persahabatan dengan Hulagu Khan dan rela menyerahkan wilayah mereka untuk berada di bawah jajahan takluk tentera Monggol asalkan mereka terus menjadi gabenor. Tanpa disedari, impak yang lebih besar telah dirasai oleh Hulagu Khan apabila lebih banyak bantuan yang mampu diperolehnya dalam usaha untuk menakluki Baghdad.

Lain pula kisahnya di Baghdad. Sedang wilayah-wilayah sekitar menghadapi gejolak penaklukan tentera Monggol, Baghdad pula sedang berdepan dengan krisis dalaman khususnya dalam pemerintahan. Sistem pemerintahan di Baghdad menggabungkan tiga bangsa iaitu bangsa Arab, Turki dan Parsi. Acap kali berlaku perselisihan pendapat antara menteri-menteri sebagai wakil bagi setiap bangsa ini dalam mesyuarat yang dijalankan bersama khalifah. Setiap wakil pasti mengeluarkan pendapat yang lebih berpihak kepada kepentingan bangsa masing-masing. Akibatnya, msyuarat yang dijalankan pasti akan berakhir dengan pertikaman lidah dan membawa kepada kecelaruan Khalifah al-Musta'shim Billah.

Keadaan semakin kecoh dengan kisah pembunuhan ketua tentera kerajaan Baghdad iaitu Hurnain. Hal ini dibawa dalam mesyuarat antara khalifah dan menteri-menteri. Kesudahannya adalah sama apabila percanggahan pendapat berlaku dalam usaha untuk melantik ketua tentera yang baru.

"Jawatan yang penting itu perlu diberikan kepada bangsa Arab daripada keturunan Rasulullah."

"Kami bangsa Turki juga layak memegang jawatan ketua tentera. Tambahan pula kami yang membantu menegakkan kerajaan Abasiyah semenjak dari dahulu."

"Kami bangsa Parsi juga layak bagi memegang jawatan yang penting itu."

Situasi ini telah mencetuskan perbalahan antara mereka dan membuatkan khalifah berada dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Akhirnya, mesyuarat tersebut terpaksa ditangguh. Keadaan khalifah yang lemah dalam mentadbir pemerintahan kerajaan membawa kepada lemahnya juga kerajaan Bani Abasiyah. Jika dahulu, wilayah pemerintahan kerajaan ini amat luas merangkumi Maroko, Syria, Iraq, Persia, Turki dan India. Namun kini, wilayah tersebut telah berpecah-pecah menjadi negeri kecil dan mengisytiharkan pemerintahan sendiri. Kerajaan Bani Abasiyah hanya berkuasa di kota Baghdad dan kawasan sekitarnya sahaja. Ini menjadi salah satu punca kemungkinan tumbangnya kerajaan ini.





Dalam keadaan yang runsing itu, Khalifah al-Musta'sim Billah telah berbincang dengan anaknya Abu Bakar dan isterinya Asiah. Setelah berbincang dan memikirkan baik buruknya, khalifah telah bersetuju untuk menerima cadangan anaknya dengan melantik sahabat baik anaknya, Rukunuddin al-Daudar sebagai ketua tentera. Lantas, keputusan ini tidak berpihak kepada mana-mana menteri. Bagi sesiapa yang tidak berpuas hati, dipersilakan untuk meletakkan jawatan. Oleh kerana sayang akan jawatan yang disandang, semua menteri tidak membantah walaupun dalam hati masing-masing tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut.

Kisah pelantikan ketua tentera yang baru ini sampai kepada telinga penduduk di Kirkuk, salah satu wilayah tanah jajahan kerajaan Bani Abasiyah. Maka, berlakulah dialog antara penduduk yang sebahagiannya menyokong dan sebahagian lagi menolak pelantikan dari kalangan bangsa Arab. Dialog yang pada asalnya hanyalah borak-borak kosong telah bertukar menjadi pertikaman lidah antara penduduk dan membawa kepada pergaduhan yang melibatkan bangsa Parsi dan bangsa Arab. Akhirnya, tercetuslah rusuhan antara kaum. Bangsa Parsi yang menjadi kaum majoriti di Kirkuk telah membelasah penduduk Arab di sana sehinggakan mereka terpaksa melarikan diri ke Basrah. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Arab di Basrah lalu mereka bertindak dengan membelasah penduduk Parsi di sana. Akibatnya, penduduk Parsi di Kirkuk telah membentuk satu kumpulan untuk menyerang penduduk Arab di Basrah.

Oleh kerana takut dengan serangan tersebut, penduduk Arab menghantar wakil untuk mengadu kepada khalifah. Namun, usaha tersebut berjaya dipatahkan oleh menteri yang berbangsa Parsi iaitu Umayiddudin Muhammad al-Aqami. Wakil tersebut akhirnya pergi mengadu kepada Abu Bakar selaku anak khalifah. Abu Bakar yang membenci orang Syiah yang merupakan bangsa Parsi telah melaporkan situasi itu kepada Rukunuddin al-Daudar dan ketua tentera itu pergi menghadap khalifah untuk mendapatkan persetujuan bagi membanteras pemberontakan itu. Khalifah telah memberi kebenaran untuk bertindak.

Maka, berlakulah pertumpahan darah di Kirkuk. Kirkuk berjaya ditawan dan ramai orang Parsi yang terbunuh. Ini menimbulkan kemarahan Umayiddudin al-Aqami. Dia menafikan tindakan yang diambil oleh ketua tentera itu sebagai satu tindakan yang wajar. Dia memberi cadangan supaya jawatan ketua tentera itu dilucutkan dari Rukunuddin namun tidak diterima oleh khalifah. Pertikaman lidah berlaku antara Umayiddudin, Rukunuddin dan Abu Bakar di hadapan khalifah dalam mesyuarat yang dijalankan. Hal ini benar-benar memberikan satu tamparan yang hebat kepada Umayiddudin al-Aqami. Api dendam telah mula marak di hati menteri ini.

"Tidak mungkin aku menyerah. Aku tidak akan berdiam diri. Hutang darah perlu dibayar dengan darah. Hutang nyawa perlu dibayar dengan nyawa," tekad Umayiddudin untuk menewaskan musuhnya satu per satu.

Tiba-tiba, Umayiddudin al-Aqami mendapat satu idea untuk membalas dendam. Dia yakin itulah tindakan yang perlu diambil segera. Tindakan yang bakal membawa kepada satu bencana besar dalam kerajaan Bani Abasiyah...

04 May 2011

Sayang Si Ibu...


“Mak buat ape tu, goreng cekodok malam-malam ni?” tanyaku pelik.

“Macam tu la seorang mak yang sanggup buat ape saje untuk anak dia…Anak pulak camne?”

Aku terkesima saat mendengar omelan emak…Ada benarnya kata-kata emak itu. Seorang ibu sanggup buat apa sahaja asalkan anak-anaknya gembira dan bahagia. Biarlah dia seorang sahaja yang merasai sukarnya menanggung anak-anak yang sedang membesar terutamanya orang macam aku ni. Banyak songeh la katakan...

Emak terus menggoreng cekodok atas permintaan adik aku. Aku pulak tak terasa nak menolong pun...ya, mungkin juga terpanah dengan kata-kata si ibu yang penyayang itu. Aku berfikir dan terus berfikir...tak tahu apa yang difikirkan.

Adik terus makan cekodok dengan penuh berselera. Erm, mimpi apa la adik aku ni sampai nak makan cekodok malam-malam ni. Tadi baru je buka puasa, takkan la masih lapar lagi...sengaja nak bermanja-manja dengan emak la tu. Yelah, kami ni jarang-jarang dapat bermanja dengan emak sebab masing-masing belajar di universiti yang jauh dari emak. Adik di Perlis, seorang lagi di Ipoh, aku di Penang dan emak di Putrajaya. Sekarang ni cuti semester, baru la kami dapat berjumpa dengan emak. Sejak abah meninggal dunia, beginilah hidup kami...Kalau rindu pada emak dan nak berjumpa juga, nampaknya kena ke Putrajayalah kami. Emak tinggal dengan kakak sekaligus menjadi pengasuh cucu bongsu emak yang baru berusia 8 bulan. Alhamdulillah, Allah masih mempermudahkan urusan kami setakat ini. Moga Allah meluaskan rezeki kakak aku sekeluarga atas pengorbanannya terhadap emak.

Tak lupa juga kepada abang aku sekeluarga yang kini menggalas beban sebagai ketua keluarga kami sebagai pengganti arwah abah. Allah mengujinya apabila anak bongsunya sakit dan terpaksa dibedah. Lebih daripada RM2K terpaksa dikorbankan. Pasti dia merasai betapa peritnya menyara anak-anak sepertimana arwah abah dan emak juga. Moga Allah memberinya kesabaran yang banyak dalam menempuhi dugaan Allah yang hanya sedikit ini.

Teringat pula aku kepada abang aku yang jauh itu...aku siap kena marah lagi saat aku menolak tawaran UiTM untuk sambung degree di sana sebab katanya dia boleh 'support' yuran aku...tak sangka, penyayang jugak abang aku yang pada zahirnya nampak kasar...Dalam takde duit tu masih juga nak membantu kami adik-adiknya walaupun hanya RM10 je...Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari...Moga Allah mempermudahkan urusannya sebagaimana dia memudahkan urusan orang lain.

Beginilah sketsa kehidupan seorang insan yang bernama Masitah. Aku belum diuji dengan ujian yang sangat berat sehingga aku terduduk dan menangis sepertimana arwah abah dan emak dahulu. Aku yakin, arwah abah dan emak pasti pernah merasai keperitan yang lebih hebat daripada aku. Ujian yang besar pasti pernah singgah dalam kehidupan mereka. Mengingatkan itu, aku jadi kagum. Kagum dengan ketabahan mereka. Allah pasti melimpahkan kesabaran yang sangat besar kepada mereka dalam menempuhi segala-galanya. Moga Allah mengurniakan aku kesabaran yang lebih hebat dalam menempuhi dunia yang sangat mencabar saat ini dimana jahiliyah moden sangat berleluasa, jahiliyah yang lebih hebat berbanding jahiliyah di zaman Rasulullah SAW.

Ya Allah, ampunilah aku, kedua orang tuaku, adik-beradikku, sanak saudaraku, guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Letakkanlah dunia hanya di tangan kami, bukannya di hati kami supaya kami tidak menyintainya dengan sangat...Perkenankanlah doa hambaMu ini ya Allah.

”Kamu buat ape tu Kakcik?” sapa emak.

”Takde mende mak, saje je menaip-naip...” jawabku spontan.

Lamunan aku terhenti saat mendengar laungan ibu yang kucintai itu. Aku segera menutup laptop dan berlalu ke birai katil usang emak. Emak kelihatan sangat letih...Rambut emak yang tinggal sedikit itu ku usap perlahan...sangat sedikit rambut emak yang berwarna putih, yang lain masih berwarna hitam...Emak cakap, jangan dicabut uban tu sebab ia adalah bunga-bunga syurga...Aku ketawa sendiri saat itu...gembira dan bersyukur kerana Allah mengurniakan aku seorang ibu yang sangat penyayang dan penyabar.

Hargailah kedua orang tua kita selagi mereka masih ada...

29 April 2011

Abdullah bin Usman : Teguhnya Imanmu...




Duhai Atiq
Kau sungguh satu 'figure'
Yang amat istimewa...

Duhai Atiq
Kau seakan mutiara
Di tengah lautan kaca...

Duhai Atiq
Kau mencari dengan hati murni
Di kala ia (Islam) belum ada...

Duhai As-Siddiq
Kau pembenar kata-kata
Lisan Rasul kalam Allah...

Duhai As-Siddiq
Kau penyelamat Islam
Kala tunggak utama pergi...

Duhai As-Siddiq
Kau sungguh taat
Pada pesuruhNya dan PenciptaMu...

Duhai Abu Bakar
Rela kau diterkam serigala
Andai berpaling dari ketaatan...

Duhai Rasulullah
Para sahabatmu hebat
Khalifah acuanmu mantop...

Duhai Rasulullah
Kami umatmu lemah
Kami ummahmu sayu, layu...

Duhai Rasulullah
Kami masih meraba-raba
Sedang ia (Islam) ada di depan mata...

Syafa'atkan kami ya Rasulullah~


[impak bacaan]
Siri Khalifah Rasulullah SAW
Saidina Abu Bakar As Siddiq
karya Muhd. Nur Iman M A

28.04.11 | NIK

29 March 2011

Bila Izrail Datang Memanggil...

3 perkara yang ikut mayat hingga ke kubur:

1) harta benda

2) ahli keluarga

3) amalan


Namun, 2 daripadanya akan pulang...yang tinggal hanyalah amalan sebagai peneman si mayat di alam kubur...


Menitis airmataku mengenangkan arwah abah yang telah dahulu dijemput Allah beberapa bulan yang lalu. Mengenangkan arwah abah yang meninggalkan seorang isteri dan 9 orang anak tanpa dipinta. Yelah, siapalah yang nak mati cepat kan???


3 orang abang yang masih bujang dan seorang abang yang telah berkahwin, 2 orang kakak yang telah berkahwin dan 2 orang adik yang masih belajar serta diriku sendiri yang juga masih belajar...inilah anakmu abah, yang ditinggalkan olehmu atas arahan Allah.


Apa agaknya hajat arwah abah di alam sana terhadap anak-anaknya saat ini? Berjaya menjadi seorang insan yang glamor di duniakah, berjaya menamatkan pangajiankah atau dapat melahirkan waris yang ramaikah? Adakah itu yang abah dambakan?


Ya Allah, abah kini mungkin berbahagia di sana saat anak-anaknya ini berjaya dalam akademik, karier dan keluarga masing-masing. Tapi, mungkin juga sedang menderita di alam yang kami tidak tahu itu...kerana kami tidak tahu, doa kami yang manakah untuk abah itu diterima oleh Mu? Amalan kami yang manakah diterima oleh Mu buat penerang kuburnya? Adakah sudah cukup membahagiakannya saat kami solat 5 waktu? Adakah sudah cukup menggembirakannya saat kami bersedekah? Adakah kami sudah ikhlas dalam mendoakannya? Ya Allah, rahmatilah orang tuaku dan kasihanilah dia sebagaimana dia telah mengasihiku sewaktu aku masih kecil hinggalah ke akhir hayatnya. ameen.


Setiap yang bernyawa pasti merasai mati, dan beruntunglah orang yang sentiasa mengingati mati dan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari itu...

16 March 2011

Bangkitlah Ukhti...



Bumi kan terus berputar
Bulan kan terus beredar
Bintang kan terus berkelip
Dan matahari kan terus menyinar.

Mata air kan terus menitis
Sungai kan terus mengalir
Pantai kan terus berombak
Dan lautan kan terus bergelombang.

Semut kan terus berkerumun
Kucing dan anjing kan terus berkelahi
Harimau kan terus menjejak
Dan burung kan terus berterbangan.

Manusia kan terus hidup
Manusia kan terus berjalan
Manusia kan terus berlari
Dan manusia kan terus bernafas.

Tanpamu ukhti...
Semua ini kan terus berlangsung
Tanpamu ukhti...
Semua ini kan terus berlaku

Begitulah juga ukhti...
Tanpamu ukhti
Dakwah kan terus berjalan
Dakwah kan terus mara...

Merugilah ukhti...
Merugilah bagi orang yang tertinggal
Merugilah bagi orang yang tercicir
Merugilah bagi orang yang terlepas.

Bangkitlah ukhti...
Kejar kembali kereta dakwah itu
Naiki kembali kereta dakwah itu
Jangan kau lepaskan ia begitu sahaja.

Bangkitlah ukhti!
Dari lenamu yang panjang...


SaiFuLLaH
PPSF-2011

22 February 2011

Tamparan Itu Manis...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Kadang-kadang bila difikirkan semula, manis rasanya apabila ditampar. Manis rasanya apabila dicubit. Sungguh pelik bunyinya tapi itulah kebenaran. Pasti ramai yang melayang fikirannya ke arah perhubungan suami isteri yang romantis. Suami isteri yang baru mendirikan masjid. Saat-saat berbulan madu, semuanya pasti rasa manis. Walaupun ditampar, pasti tamparnya tampar yang manja. Walaupun dicubit, pastinya cubit-cubit sayang. Maka, semuanya akan terasa manis semanis madu. Tapi tunggu dahulu! Tarik kembali layangan minda anda sebelum ia menerawang lebih jauh lagi. Takut-takut nanti hilang arah pula ia melayang.


Ana belum lagi berkahwin untuk menceritakan pengalaman diri bertamparan dan bercubitan dengan si suami. Jadi, dari mana datangnya rasa manis itu kalau bukan dari sang suami? Inilah yang ingin ana kongsikan. Semoga sahabat-sahabat dan akhwat sekalian dapat juga mencari kemanisan yang ana dapat ini. Ana memperolehnya melalui satu ikatan yang terjalin antara ana dan si dia. Kadang-kadang, bila si dia berada di depan mata, rasa endah tak endah sahaja. Kebiasaan telah mengatasi diri dan menyebabkan ia menjadi biasa-biasa sahaja. Tiada kelainannya. Tetapi apabila si dia itu hilang di mata, layar minda terus berputar mempertontonkan kembali saat-saat bersamanya. Walaupun kadang-kadang saat itu tidaklah indah untuk diingat kembali. Tapi, ana dapat rasa akan kemanisan itu. Kadang-kadang, ana jadi tersenyum sendiri bila mengenangkannya. Kadang-kadang, terngiang-ngiang suaranya. Kadang-kadang terdengar-dengar dehemnya. ‘Hai, macam sudah dilamun cinta pula enti ini.’ Ya! Ana memang sudah dilamun cinta!


Cinta kepada akhwatku kerana kami berukhwah kerana Allah. Cinta kepada sahabatku kerana kami berukhwah kerana Allah. UKHWAH. Kalimah inilah yang telah menukarkan tamparan yang penuh berbisa menjadi detik manis yang dikenang. Kalimah inilah yang telah menukarkan cubitan yang menggigit menjadi saat indah yang diingati. Betul apabila dikatakan saat-saat yang indah dan akan dikenang adalah apabila detik itu disulami dengan gelak tawa dan senyum seindah suria. Tetapi pada ana, tanpa itu semua pun akan tetap menjadikan suatu detik itu bermakna dan dikenang. Ukhwah telah membezakannya. Malah lebih indah lagi apabila ukhwah itu adalah kerana Allah.


Ana sendiri telah merasainya. Lagi-lagi apabila tinggal serumah dengan mereka. Setiap detik masa bersama. Pahit, manis, masam dan masin ditelan bersama. Suka, duka, gelak dan tangis berpadu bersama. Segala rencah kehidupan dalam berukhwah lebih dirasai. Kerana kami lebih dekat. Tidur banyak bantal, tapi alas kami tetap yang satu. Sebilik mandi dan setandas, walau kami guna berlainan waktu. Saling beribadah bersama, dan saling ingat-mengingati. Walau terkadang kami sama-sama terleka. Itulah yang kami rasa. Maksud ana, itulah yang ana rasa. MANIS!


Buat akhwatku.. Ana yang kini berada dalam minda sedar secara 100%, tidak dipaksa atau ditekan oleh mana-mana pihak, menaip dengan hati yang rela dan ikhlas, dengan ini ana ingin nyatakan bahawa... ANA SAYANG DAN CINTAKAN ENTI SEMUA KERANA ALLAH..



15 February 2011

Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 2)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Pada dinihari yang sunyi, tidur Hulagu Khan diganggu dengan kehadiran sahabatnya. Kedatangan sahabatnya itu, Utam Khan membawa satu berita buruk kepada Hulagu Khan.

"Ayahmu sudah meninggal dunia."

Hulagu Khan terkejut bukan kepalang seolah-olah dia sedang bermimpi. Utam Khan menyatakan bahawa ayah Hulagu Khan memimpin pasukan tenteranya ke sempadan Kota Baghdad lalu berlaku pertembungan dengan tentera Bani Abasiyah. Maka, berlakulah pertempuran dan ayahnya cedera parah lalu meninggal dunia. mendengar sahaja kata-kata sahabatnya itu, api dendam mula membara dalam jiwa Hulagu Khan untuk menuntut bela atas kematian ayahnya, Tolui. Ini ditambah lagi dengan hasutan dari ibunya.

Serentak dengan itu, Hulagu Khan pergi bertemu dengan bapa-bapa saudaranya untuk meminta bantuan ketenteraan seiring juga dengan arahan Mongke Khan selaku pengganti Tolui. Semua bapa saudaranya bersedia untuk membantu. Namun, di saat-saat akhir, Mongke Khan menukar fikiran dengan menyuruh Hulagu Khan menakluki wilayah Lurs dan Hashasim di Parsi kerana sudah berlaku pemberontakan untuk memerintah sendiri di wilayah tersebut. Sebaliknya, dirinya sendiri yang akan pergi ke China untuk menaklukinya.

Berita serangan tentera Monggol telah tiba di wilayah Lurs. Amir Lurs selaku pemerintah di wilayah tersebut segera bermusyawarah dengan menteri-menteri. Akhirnya, kata sepakat telah diambil untuk terus menentang tentera Monggol dan mereka bercadang untuk meminta bantuan daripada negara-negara Islam di bawah kerajaan Bani Abasiyah yang lain. Namun sayang sekali, tiada sebuah negara Islam pun yang ingin menghulurkan bantuan.

"Kami tidak mahu campur tangan. Kami tidak mahu berperang dengan tentera Monggol".

"Hulagu Khan datang dengan 200,000 tentera. Lebiah baik elakkan berperang dan ajaklah berdamai".

"Wilayah Lurs adalah tanah jajahan takluk Tolui. Jadi, Hulagu Khan berhak merebutnya semula".

Pelbagai alasan yang mereka berikan. Amir Lurs berasa sangat kecewa. namun, keputusan yang telah dibuat terus jua dipegang. Berbekalkan dengan tentera seramai 50,000 orang, mereka meneruskan tekad untuk melindungi tanah air dari dijajah walaupun diajak berdamai oleh Hulagu Khan. Strategi tentera Muslimin telah disusun dan tradisi sebelum peperangan bermula juga diikuti. Namun, akal Hulagu Khan lebih panjang. Akhirnya, tentera Amir Lurs tewas di tangan tentera Monggol dengan helah yang dibuat. Semua tawanan dibunuh termasuklah Amir Lurs.




Hulagu Khan bertanya kepada tenteranya soalan yang sama yang pernah ditanya oleh datuknya kepada tenteranya dahulu.

"Sebagai pahlawan Monggol, apakah kenikmatan hidup yang paling tinggi sekali?"

"Apabila dapat menunggang kuda dengan pantas di atas padang rumout yang hijau sambil memburu".

"Tidak. Yang paling nikmat adalah mengalahkan musuh lalu melayan mereka seperti binatang, merampas harta milik mereka, mendengar tangisan orang yang mencintai mereka, dan memeluk perempuan-perempuan cantik kepunyaan mereka."

Semua tentera bersorak. Mereka melakukan keganasan di Lurs. Semua tawanan lelaki dikumpulkan dan dipancung lehernya satu per satu di hadapan anak-anak dan isteri mereka. Harta dirampas dan wanita diperkosa.

Berita kekejaman tentera Monggol sampai kepada pemerintah wilayah Hashasim yang bersempadan dengan Lurs. Perbincangan dibuat dan Raja Hashasim memutuskan untuk tidak menyerang dan berdamai dengan tentera Monggol yang bakal menyerang mereka. Namun, Hulagu Khan tidak datang untuk berdamai tetapi berperang. Maka, Hashasim juga menerima nasib yang sama seperti Lurs. Tentera Monggol berpesta di Hashasim kerana dapat menaklukinya dengan mudah.

Ke manakah arah tujuan tentera Monggol yang kejam ini selepas wilayah Lurs dan Hashasim sudah ditakluki?

"Kita akan menakluki Kota Baghdad tidak lama lagi"...(bersambung)