HeLaiaN DeMi HeLaiaN

13 December 2010

Jagalah Hati...

Salam ukhwah, salam penuh barakah buat semua. Salam penuh kesyukuran atas rahmat Allah SWT yang masih lagi memberi segunung nikmat buat hambaNya yang dhaif lagi hina ini untuk memberi sedikit manfaat buat semua. Salam kasih dan sayang buat akhwat-akhwat dan para sahabat yang sentiasa di sisi kala suka dan duka. Serta salam penuh cinta buat 'anak-anak ku' yang sedang berjuang di medanMu buat meneguhkan iman dan menguatkan Islam. Moga kalian terus tegar di jalan ini.


Sudah sekian lama rasanya tatapan ini tidak dicoret. Mungkin keadaan capaian internet yang kurang memberangsangkan di rumah menyebabkan suasana untuk mencoret sepatah dua kata juga hilang. Namun, kata hati masih memberontak ingin menaip papan kekunci lappy ini. Bak kata orang, 'gian sudah...'


Telah lama daku mengkoreksi diri, sejak sekian lamanya. Kini benak fikiran mula menyedari. Betapa pentingnya buat diri untuk menjaga seketul daging. Ya, seketul daging yang digelar sebagai HATI. Seperti yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW bahawa, "Di dalam diri setiap manusia ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, bila ia buruk maka buruklah seluruh tubuh. Daging itu adalah hati".


Metaforanya adalah seperti tongkat signal keretapi di sebuah landasan keretapi. Dengan menggerakkanya sedikit, maka landasan akan bergeser dan perjalanan keretapi pun berubah arah. Demikianlah halnya dengan hati. Gerak hati akan menentukan arah kehidupan seseorang. Demi menunjukkan betapa pentingnya seketul daging ini bagi menguruskan sebuah jasad, perkataan hati disebut lebih daripada 97 kali di dalam kalam suci Allah SWT yakni Al-Quran.


Hati berfungsi sebagai tapak atau medium perhubungan kita dengan Allah SWT. Dan sebagai hambaNya yang bersyukur dengan nikmatNya, seharusnya kita membina taman-taman yang indah di hati kita. Untuk siapakah akan dipersembahkan taman-taman itu yang diperhiaskan sebegitu indah? Tidak lain dan tidak bukan adalah buat Allah SWT. Tempat di mana Allah akan melihat siapakah hambaNya ini. Sesungguhnya hati-hati setiap insan itu akan dipegang oleh Allah. Di situlah tempatnya di mana Allah akan menurunkan hidayahNya. Dengan hatilah manusia dapat memahami ayat-ayat Allah, merasai kenikmatan yang Allah berikan dan menyampaikan cinta kepada Allah SWT. Dengan hatilah kita bakal mengenal Allah. Tanpa hati, manusia seakan buta di kala celik pandangan matanya. Oleh itu, adalah amat wajar bagi setiap insan yang masih bernafas di muka bumi ini untuk menyucikan hati selalu kerana hati adalah daging yang melambangkan siapa kita. Betapa pentingnya menjaga hati berikutan di situlah letaknya titik yang menyambungkan kita dengan Allah (sirrullah). Hati adalah PUSAT CINTA.


Ramai orang yang mengetahui bahawa mereka adalah hamba Allah, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka adalah hamba Allah. 'Tahu' adalah berkaitan dengan akal manakala 'sedar' adalah berkaitan dengan hati. Itulah yang menjadi punca kepada berlakunya perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti sifat-sifat buruk (sombong, takabur, etc) dan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang hamba. Saiyidina Ali karamallah huwajhah berkata, "Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (sedar)". Untuk sedar sebelum ajal menjemput, kita perlulah membuka mata hati supaya dapat melihat sesuatu dengan pandangan mata hati (pandangan yang paling tepat dan benar). Pandangan mata hati mampu melihat yang tersurat dan tersirat. Makanya, perlulah kita membersihkan hati dahulu. Analoginya, seperti mereka yang memakai kaca mata. Sebelum memakainya pasti akan dibersihkan dahulu agar bersih dari habuk dan debu.


Selain daripada pandangan hati, terdapat juga pandangan-pandangan lain seperti pandangan mata (yang selalu menipu), pandangan akal (yang selalu tersalah), serta pandangan nafsu (yang selalu melulu). Metaforanya seperti kita melihat diri kita di hadapan cermin. Andai kita melihat diri kita dengan pandangan mata, maka kita akan berkata, 'Wah, tak sangka cantik juga aku ni. Ni mesti sebab aku pakai produk ni.' Atau mungkin juga ada yang berkata, 'Alamak, dah nampak berisi lah badan ni. Nak kena diet lepas ni.' Andai kita melihat diri kita dengan pandangan akal, maka kita akan memikirkan beribu-ribu kemungkinan yang logik dek akal mengenai tubuh kita. Namun, segalanya hanyalah luaran sahaja. Andai kita melihat diri kita dengan pandangan nafsu, maka akan timbullah idea-idea 'bernas' bagaimana untuk membuat diri lebih 'laku'. Atau mungkin untuk menarik perhatian kaum yang satu lagi. Namun, andai pandangan hati yang kita gunakan untuk melihat diri kita ini, maka akan terdetiklah di jiwa betapa indahnya diri kita ini dicipta dan akan terdetiklah di benak fikiran ini betapa hebat dan agungnya Pencipta itu. Dari situ kita dapat mengenal Allah SWT.


Islam sebenarnya telah pun menerapkan cara untuk menyucikan hati melalui amalan-amalan yang diperkenalkan dalam Islam. Dengan mengucap dua kalimah syahadah, kita telah membersihkan diri kita dari pegangan-pegangan yang lain melainkan bahawa Allah itu adalah satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Dengan mendirikan solat, kita akan membersihkan hati kita dari segala macam kekotoran sebagaimana kita membersihkan diri kita dari kotoran semasa mengambil wuduk. Dengan berpuasa, kita akan menindas hawa nafsu kita dan membersihkan hati dari dikawal oleh hawa nafsu. Dengan berzakat, kita akan melatih hati kita dan membersihkan hati dari sifat tamak. Ianya juga adalah bertujuan untuk membersihkan harta. Dengan mengerjakan haji, kita akan membawa hati kita mengembara menuju Allah. Dan dengan melaksanakan ibadah korban, Ia membuktikan bahawa cinta kita hanyalah untuk Allah, melambangkan sebuah hati yang bertakwa. Ibadah korban memberi simbolik bahawa kita telah menyembelih hati kita yang cintakan dunia.


Antara cara yang disarankan untuk menyucikan hati adalah seperti:

  1. Mendirikan solat dan banyakkan berdoa
  2. Selawat ke atas Nabi Muhammad (>100x) sebelum tidur
  3. Solat taubat
  4. Membaca Al-Quran
  5. Bermaaf-maafan sesama sahabat setiap hari
  6. Bisikkan kepada diri perkara yang positif


Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air." Seorang sahabat bertanya, "Bagaimana menghapuskan karat tersebut?" Jawab Nabi SAW, "Banyakkan menyebut mati dan membaca Al-Quran".


Abdullah Antaqi berkata, "Lima perkara termasuk ubat bagi hati iaitu duduk bersama-sama orang soleh, membaca Al-Quran, mengosongkan perut, solat malam dan merendahkan diri ketika menjelang subuh."


Allah telah memberi amaran di dalam Al-Quran andai hambaNya tidak menggunakan hati dengan betul.


"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." [Al-A'raaf,7:179]


Secara tuntasnya, tuntutan untuk memperoleh kehidupan sebagai seorang hamba yang diredai oleh Tuannya perlukan kepada penyucian hati atau membersihkan hati. Dengan adanya penyucian hati, mata hati kita akan sentiasa celik dan mampu melihat sesuatu mengikut apa yang diinginkan oleh Allah SWT. Pengakhirannya, insyaAllah kita akan dapat mencintai Allah SWT dan sentiasa berada dalam reda dan naunganNya.


"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada." [Al-Hajj,22:46]


~Wassalam~

07 December 2010

Wahai Nahkodaku...

Hai sang nakhoda
tidakkah terdetik mengubah arah?
arah haluan kapal hidupmu
tidakkah walau sekelumit rasa
wahai nakhoda ku sayang

Hai sang nakhoda
Yakinkah arahmu menuju abadi?
terarah ke destinasi yang dicari-cari
pastikah haluan tidak menyongsang arus
wahai nakhoda ku sayang

Wahai nakhoda ku
kau kemudi kapal nan gah
muatan menagih seribu tanggungjawab
usah dibolak-balikkan kata-kata
ubahlah arahmu ke destinasi hakiki

Jangan kau persiakan hayatmu
kembalilah kepada Ya Rabbul Izzati
wahai nakhoda ku sayang
aku sungguh kasih padamu... :'(