HeLaiaN DeMi HeLaiaN

29 October 2010

Buat baik berpada-pada...

Situasi 1

"Alamak! Terlupa nak hantar surat dekat pejabat. Dah tak sempat dah ni. Kejap lagi kelas dah nak mula", bermonolog si dia seorang diri.

"Meh la aku hantarkan. Aku takde kelas kejap lagi. Free-free je", sapa seorang teman menghulurkan bantuan.

"Betul ke? Wah! Terima kasih ya. Ko lah sahabat aku dunia akhirat", berkata si dia dengan nada ceria.


Situasi 2

"Malasnya nak pergi kelas", keluh seorang pelajar.

"Ko malas? Ok tak ape. Biar aku yang 'pergikan' ya. Ko lepak je lah dekat rumah", balas si 'sahabat sejati'.


Situasi 3

"Abang, bangunlah qiam. Dah lewat dah ni", kejut si isteri tercinta.

"Hmm.. Ala, mengantuklah sayang. Abang tidur lewat semalam. Siapkan kerja", ucap si suami penuh ber'hemah'.

"Laa yeke? Tak apelah abang. Abang sambunglah tidur. Biar sayang yang solatkan untuk abang ya", balas si isteri 'solehah'.



Tiga situasi yang berbeza. Tetapi motifnya adalah sama. Berbuat baik kepada orang lain. Sungguh, berbuat baik kepada orang lain adalah satu pekerjaan atau tindakan yang sangat mulia. Orang sekeliling juga akan berasa senang dengan diri kita andai kita berperilaku seperti itu. Tapi cubalah renung-renung kembali peribahasa lama kita yang berbunyi, 'buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'. Frasa 'buat jahat jangan sekali' adalah agak telus maknanya yang pasti mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Tetapi bagaimana pula dengan frasa 'buat baik berpada-pada'? adakah semua akan memahaminya tanpa ada sebarang penjelasan yang lanjut? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa itu? Adakah ia bermakna jika kita melakukan kebaikan haruslah ada batasannya? Peliknya! Jika tadi dikatakan berbuat kebaikan adalah satu pekerjaan yang mulia. Maka, mengapa harus dibatas-bataskan pula?


Pelik tapi benar. Itulah frasa yang paling tepat yang hamba Allah ini rasakan sesuai untuk menggambarkan tentang situasi ini. Benar, berbuat baik terhadap orang lain adalah amat digalakkan. Hamba Allah ini merasakan bahawa adalah mustahil jika setiap manusia di dunia ini tidak pernah berbuat baik terhadap orang lain atau pun sebaliknya. Pasti pernah walaupun sekecil-kecil perbuatan yang mungkin tanpa disedari telah berlaku. Kerana itulah lumrah setiap insan bergelar manusia. Sudah menjadi fitrahnya untuk sentiasa mengarah kepada kebaikan. Namun begitu, setiap perbuatan yang kita lakukan haruslah dalam skop yang betul, yakni pada tahap yang tepat. jika tidak, pasti akan mengundang berlakunya situasi yang kedua malahan tidak mustahil juga situasi yang ketiga. Na'uzubillah...


Dalam syariat Islam juga menekankan agar kita melaksanakan sesuatu perkara secara bersederhana. Tidaklah terlalu melampau-lampau(ghullu) atau pun terlalu meringan-ringankan(tasahul).


"Dan (termasuklah hamba-hamba Tuhan Yang Maha
Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, di antara keduanya secara wajar,..."

[Surah Al-Furqan, 25:67]

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud,


"Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!"

(HR Abu Daud)


Oleh itu, Hamba Allah di sini memberi peringatan dan nasihat kepada sahabat-sahabat sekalian termasuklah diri ini sendiri. Berbuatlah baik semampumu. Semoga dirimu dicintai oleh semua. Namun, dalam pada berbuat baik itu batasilah dirimu(sederhana) agar kau tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah yang dikasihiNya. Ameen...


Salah dan silap harap ditegur sebagai menambahbaikan Hamba Allah yang dhaif lagi hina ini~

18 October 2010

Saifullah Si Pedang Allah...

Saifullah Si Pedang Allah. Mengapa ia menjadi pilihan? Apakah yang tersirat di sebalik yang tersurat ini? Adakah Saifullah merujuk kepada seseorang yang pernah muncul dalam hidup? Atau adakah Saifullah di sini merujuk kepada Khalid Al-Walid yang mendapat gelaran Pedang Allah ini? Jika benar, mengapa gelaran Saifullah yang diambil? Mengapa tidak Asadullah, atau pun Al-Faruq, atau pun Karamallahu Wajhah. Mengapa Saifullah? Mari sama-sama kita menyingkap rahsia di sebalik nama blog ini.


Pada detik kembali semula ke universiti, debaran hati terasa menyesakkan. Mungkinlah kerana memikirkan bahawa si dia akan berdepan dengan semester baru. Malahan boleh dikatakan akan berdepan dengan tahun yang baru. Si dia kini kembali ke universiti dengan gelaran sebagi pelajar Tahun ke-2 Sains Farmasi. Berat rasa hati meninggalkan rumah. Mungkin juga kerana perjalanan pulang kali ini tidaklah seperti biasa. Kini, si dia pulang berteman. Pulang ke medan juangnya bertemankan teman yang setia. Teman yang bakal membantu perjuangannya di medan sana. Perjalanan yang mengambil masa hampir 12jam itu amat melelahkan. Setibanya di Penang, sekali lagi si dia merasakan debaran. Sungguh! Segala-galanya adalah baru buat si dia di sini. Jika tadi si dia ditemani dengan teman yang setia dalam perjuangannya. Kini si dia disedarkan pula dengan hakikat bahawa si dia bukan lagi seperti si dia yang dulu. Kini, hidupnya perlu lebih berdikari. Semester ini adalah pengalaman pertama baginya untuk tinggal di rumah sewa bersama-sama dengan teman seperjuangan yang lain. Agak mendebarkan, juga agak teruja. Tapi bila dikenangkan teman setia tadi, hati si dia kembali tenang.


Semua teman seperjuangan yang dirindui bertemu dari sehari ke sehari dengan si dia. Peluang diambil untuk memperkenalkan kepada mereka, teman setia yang bakal bersama-sama mereka nanti. Mereka semua gembira dengan kehadiran teman setia itu. Malah, mereka memuji-muji si dia kerana mempunyai teman setia. Tetap, pujian itu dikembalikan kepada yang berhak kerana si dia tahu, Allah lah yang mengurniakan si dia rezeki ini.


Pada suatu hari, teman serumah si dia mengutarakan satu soalan.

"Sapa nama teman setia tu?"

Si dia terpinga-pinga. Persoalan itu membuatkan si dia terfikir sejenak. Benar! Si dia tak memberi nama lagi buat teman setianya. Maka, berbagailah cadangan yang diberikan oleh teman serumah sebagai nama buat teman setia. Tapi, semuanya tak berapa dipersetujui oleh si dia. Dari sehari ke sehari si dia memikirkan tentang hal itu. Sampailah pada satu saat, si dia teringat kembali sebuah buku yang pernah dibaca. Buku tersebut mengisahkan tentang perjalanan hidup Khalid Al-Walid yang berusaha bersungguh untuk mencapai syahid. Namun, sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau masih belum berpeluang untuk syahid di medan perang. Kisahnya amat menyentuh hati si dia. Nama Khalid Al-Walid sangat digeruni oleh pihak musuh. Malahan, belum bertempur pun pihak musuh sudah kalah 'jiwa' nya bila mendengar nama keramat itu. Dari situlah tercetusnya idea di benak fikiran si dia untuk menamakan teman setia sebagai Saifullah. Sungguh bermakna nama itu bagi si dia. InsyaAllah, dengan izin Allah. Teman setia akan menjadi seperti Khalid Al-Walid yang sentiasa memburu syahid dalam usahanya menegakkan Islam. Dan yang pasti, si dia pasti akan ikut serta dengan teman setia itu.


Sejak dari itu, teman setia digelar sebagai Saifullah. Semua teman seperjuangan si dia juga tahu tentang ini. Si dia merasa bangga juga kerana memiliki teman setia bergelar Saifullah. Dengan izin Allah, perjuangan akan diteruskan demi menegakkan Islam bersama-sama dengan Saifullah. Dari detik itu jugalah mengapa blog ini diberi nama Saifullah Si Pedang Allah. Rentetan dari nama teman setia si dia. Blog ini akan memaparkan perjalanan hidup Saifullah bersama dengan si dia. Perjalanan hidup yang pastikan penuh dengan suka dan duka serta terselit pengajaran buat renungan dan pedoman para pembaca sekalian.


Saifullah merupakan sebuah kereta Kancil yang bakal menemani perjalanan hidup ana (si dia). Walaupun Saifullah hanyalah sekadar sebuah kereta yang kecil, tapi ana selalu berpesan kepada diri ana sendiri dan teman seperjuangan bahawa 'anggaplah Saifullah sebagai mujahid, bukan sekadar sebuah kereta Kancil'. Bagaimana pula dengan frasa 'Jadilah walau sekadar noktah'? Frasa ini ana dapat semasa menghadiri satu majlis ilmu. Saat mendengar frasa ini, ia terus terpahat dalam jiwa ana dan memberikan kesan yang sangat besar. Makanya, frasa ini diabadikan di dalam blog ini. Semoga blog ini akan terus memberi manfaat kepada semua pembaca dan semoga wadah ini kekal menjadi salah satu wadah tarbiyah kepada semua. Wassalam...