HeLaiaN DeMi HeLaiaN

22 February 2011

Tamparan Itu Manis...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Kadang-kadang bila difikirkan semula, manis rasanya apabila ditampar. Manis rasanya apabila dicubit. Sungguh pelik bunyinya tapi itulah kebenaran. Pasti ramai yang melayang fikirannya ke arah perhubungan suami isteri yang romantis. Suami isteri yang baru mendirikan masjid. Saat-saat berbulan madu, semuanya pasti rasa manis. Walaupun ditampar, pasti tamparnya tampar yang manja. Walaupun dicubit, pastinya cubit-cubit sayang. Maka, semuanya akan terasa manis semanis madu. Tapi tunggu dahulu! Tarik kembali layangan minda anda sebelum ia menerawang lebih jauh lagi. Takut-takut nanti hilang arah pula ia melayang.


Ana belum lagi berkahwin untuk menceritakan pengalaman diri bertamparan dan bercubitan dengan si suami. Jadi, dari mana datangnya rasa manis itu kalau bukan dari sang suami? Inilah yang ingin ana kongsikan. Semoga sahabat-sahabat dan akhwat sekalian dapat juga mencari kemanisan yang ana dapat ini. Ana memperolehnya melalui satu ikatan yang terjalin antara ana dan si dia. Kadang-kadang, bila si dia berada di depan mata, rasa endah tak endah sahaja. Kebiasaan telah mengatasi diri dan menyebabkan ia menjadi biasa-biasa sahaja. Tiada kelainannya. Tetapi apabila si dia itu hilang di mata, layar minda terus berputar mempertontonkan kembali saat-saat bersamanya. Walaupun kadang-kadang saat itu tidaklah indah untuk diingat kembali. Tapi, ana dapat rasa akan kemanisan itu. Kadang-kadang, ana jadi tersenyum sendiri bila mengenangkannya. Kadang-kadang, terngiang-ngiang suaranya. Kadang-kadang terdengar-dengar dehemnya. ‘Hai, macam sudah dilamun cinta pula enti ini.’ Ya! Ana memang sudah dilamun cinta!


Cinta kepada akhwatku kerana kami berukhwah kerana Allah. Cinta kepada sahabatku kerana kami berukhwah kerana Allah. UKHWAH. Kalimah inilah yang telah menukarkan tamparan yang penuh berbisa menjadi detik manis yang dikenang. Kalimah inilah yang telah menukarkan cubitan yang menggigit menjadi saat indah yang diingati. Betul apabila dikatakan saat-saat yang indah dan akan dikenang adalah apabila detik itu disulami dengan gelak tawa dan senyum seindah suria. Tetapi pada ana, tanpa itu semua pun akan tetap menjadikan suatu detik itu bermakna dan dikenang. Ukhwah telah membezakannya. Malah lebih indah lagi apabila ukhwah itu adalah kerana Allah.


Ana sendiri telah merasainya. Lagi-lagi apabila tinggal serumah dengan mereka. Setiap detik masa bersama. Pahit, manis, masam dan masin ditelan bersama. Suka, duka, gelak dan tangis berpadu bersama. Segala rencah kehidupan dalam berukhwah lebih dirasai. Kerana kami lebih dekat. Tidur banyak bantal, tapi alas kami tetap yang satu. Sebilik mandi dan setandas, walau kami guna berlainan waktu. Saling beribadah bersama, dan saling ingat-mengingati. Walau terkadang kami sama-sama terleka. Itulah yang kami rasa. Maksud ana, itulah yang ana rasa. MANIS!


Buat akhwatku.. Ana yang kini berada dalam minda sedar secara 100%, tidak dipaksa atau ditekan oleh mana-mana pihak, menaip dengan hati yang rela dan ikhlas, dengan ini ana ingin nyatakan bahawa... ANA SAYANG DAN CINTAKAN ENTI SEMUA KERANA ALLAH..



15 February 2011

Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 2)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Pada dinihari yang sunyi, tidur Hulagu Khan diganggu dengan kehadiran sahabatnya. Kedatangan sahabatnya itu, Utam Khan membawa satu berita buruk kepada Hulagu Khan.

"Ayahmu sudah meninggal dunia."

Hulagu Khan terkejut bukan kepalang seolah-olah dia sedang bermimpi. Utam Khan menyatakan bahawa ayah Hulagu Khan memimpin pasukan tenteranya ke sempadan Kota Baghdad lalu berlaku pertembungan dengan tentera Bani Abasiyah. Maka, berlakulah pertempuran dan ayahnya cedera parah lalu meninggal dunia. mendengar sahaja kata-kata sahabatnya itu, api dendam mula membara dalam jiwa Hulagu Khan untuk menuntut bela atas kematian ayahnya, Tolui. Ini ditambah lagi dengan hasutan dari ibunya.

Serentak dengan itu, Hulagu Khan pergi bertemu dengan bapa-bapa saudaranya untuk meminta bantuan ketenteraan seiring juga dengan arahan Mongke Khan selaku pengganti Tolui. Semua bapa saudaranya bersedia untuk membantu. Namun, di saat-saat akhir, Mongke Khan menukar fikiran dengan menyuruh Hulagu Khan menakluki wilayah Lurs dan Hashasim di Parsi kerana sudah berlaku pemberontakan untuk memerintah sendiri di wilayah tersebut. Sebaliknya, dirinya sendiri yang akan pergi ke China untuk menaklukinya.

Berita serangan tentera Monggol telah tiba di wilayah Lurs. Amir Lurs selaku pemerintah di wilayah tersebut segera bermusyawarah dengan menteri-menteri. Akhirnya, kata sepakat telah diambil untuk terus menentang tentera Monggol dan mereka bercadang untuk meminta bantuan daripada negara-negara Islam di bawah kerajaan Bani Abasiyah yang lain. Namun sayang sekali, tiada sebuah negara Islam pun yang ingin menghulurkan bantuan.

"Kami tidak mahu campur tangan. Kami tidak mahu berperang dengan tentera Monggol".

"Hulagu Khan datang dengan 200,000 tentera. Lebiah baik elakkan berperang dan ajaklah berdamai".

"Wilayah Lurs adalah tanah jajahan takluk Tolui. Jadi, Hulagu Khan berhak merebutnya semula".

Pelbagai alasan yang mereka berikan. Amir Lurs berasa sangat kecewa. namun, keputusan yang telah dibuat terus jua dipegang. Berbekalkan dengan tentera seramai 50,000 orang, mereka meneruskan tekad untuk melindungi tanah air dari dijajah walaupun diajak berdamai oleh Hulagu Khan. Strategi tentera Muslimin telah disusun dan tradisi sebelum peperangan bermula juga diikuti. Namun, akal Hulagu Khan lebih panjang. Akhirnya, tentera Amir Lurs tewas di tangan tentera Monggol dengan helah yang dibuat. Semua tawanan dibunuh termasuklah Amir Lurs.




Hulagu Khan bertanya kepada tenteranya soalan yang sama yang pernah ditanya oleh datuknya kepada tenteranya dahulu.

"Sebagai pahlawan Monggol, apakah kenikmatan hidup yang paling tinggi sekali?"

"Apabila dapat menunggang kuda dengan pantas di atas padang rumout yang hijau sambil memburu".

"Tidak. Yang paling nikmat adalah mengalahkan musuh lalu melayan mereka seperti binatang, merampas harta milik mereka, mendengar tangisan orang yang mencintai mereka, dan memeluk perempuan-perempuan cantik kepunyaan mereka."

Semua tentera bersorak. Mereka melakukan keganasan di Lurs. Semua tawanan lelaki dikumpulkan dan dipancung lehernya satu per satu di hadapan anak-anak dan isteri mereka. Harta dirampas dan wanita diperkosa.

Berita kekejaman tentera Monggol sampai kepada pemerintah wilayah Hashasim yang bersempadan dengan Lurs. Perbincangan dibuat dan Raja Hashasim memutuskan untuk tidak menyerang dan berdamai dengan tentera Monggol yang bakal menyerang mereka. Namun, Hulagu Khan tidak datang untuk berdamai tetapi berperang. Maka, Hashasim juga menerima nasib yang sama seperti Lurs. Tentera Monggol berpesta di Hashasim kerana dapat menaklukinya dengan mudah.

Ke manakah arah tujuan tentera Monggol yang kejam ini selepas wilayah Lurs dan Hashasim sudah ditakluki?

"Kita akan menakluki Kota Baghdad tidak lama lagi"...(bersambung)

04 February 2011

Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 1)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..



Suatu ketika dahulu, Islam pernah bangkit dengan menakluki 2/3 wilayah di seluruh dunia. Islam pada waktu itu amat gah dan pemerintahnya juga atau digelar sebagai khalifah, sangat berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Zaman kegemilangan Islam memuncak semasa zaman pemerintahan kerajaan Bani Abasiyah (750M-1258M). Pemerintahannya bermula apabila Muhammad bin Ali, cicit Saidina Abbas berusaha mengembalikan pemerintahan kepada Bani Hasyim. Segalanya bermula semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz semasa zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Usaha ini dijayakan oleh Abu al-Abbas al-Saffah dengan menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyyah dan beliau dilantik sebagai khalifah. Pusat pemerintahannya adalah di Baghdad. Semasa pemerintahan kerajaan Bani Abasiyah, Islam telah maju dengan pesat dalam bidang ilmu pengetahuan. Ramai ulama’ dan para cendekiawan yang dilahirkan semasa zaman ini dan mereka mahir dalam pelbagai bidang ilmu.


Namun, kegemilangan Islam seolah-olah terbantut di situ apabila tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan telah menyerang Kota Baghdad. Ramai ulama’ dan cendekiawan yang dibunuh dan kitab-kitab dibuang ke dalam sungai sehingga bertukar hitam air sungai tersebut dek dakwat tulisan dalam kitab-kitab itu. Kota Baghdad pada ketika itu bermandikan darah. Tentera Monggol yang menyerang kota 1001 malam itu membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Kaum lelaki tidak kira muda atau tua semuanya dibunuh. Kaum wanita diperkosa, malahan anak-anak kecil juga dibunuh dengan kejam. Segala-galanya lesap dengan sekelip mata. Maka, bermulalah zaman kemunduran umat Islam.


Siapakah sebenarnya orang Monggol?

Orang Monggol sebenarnya berasal dari daerah pergunungan di Monggolia. Keturunan mereka berasal daripada Alanja Khan yang mempunyai dua putera kembar, Tatar dan Monggol. Kedua-dua puteranya ini melahirkan dua suku bangsa yang besar. Bangsa Monggol hidup secara nomad dengan tinggal di dalam khemah dan berpindah-randah. Mereka menggembala dan memburu haiwan, malahan mereka juga menjalankan urusan jual beli dengan orang Cina dan Turki. Kehidupan speperti ini membawa kepada perwatakan mereka yang kasar, suka berperang dan berani. Mereka menganut agama yang menyembah bintang-bintang dan sujud ke arah matahari yang sedang terbit (Syamaniah).


Semasa pemerintahan Tamujin, beliau berjaya menyatukan semua bangsa Monggol. Pada 1206M, Tamujin telah menukar namanya kepada Genghis Khan yang membawa maksud Penakluk Yang Agung. Genghis Khan mula memperluas wilayah pemerintahannya dengan menakluki wilayah-wilayah sekeliling. Beliau telah berjaya menakluki China dan berusaha untuk menakluki negara-negara di Timur Tengah. Tentera Monggol akan melakukan rampasan harta, pembunuhan, dan perkosaan di setiap wilayah dan daerah yang mereka lalui. Genghis Khan mengamalkan sistem monarki dengan membahagikan wilayah takluk kepada anak-anaknya. Begitulah seterusnya sehinggalah kepada Hulagu Khan yang meperoleh wilayah Parsi daripada ayahnya, Tolui. Hulagu Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan.


Kisahnya bermula...

Hulagu Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan, seorang penakluk agung daripada bangsa Monggol. Semenjak kecil lagi, Hulagu Khan telah dididik oleh ibunya untuk menjadi seperti datuknya. Ibunya sering bercerita tentang kehebatan datuknya sehingga memberi kesan pada hati Hulagu Khan. Ibunya juga sering kali mengucapkan kata-kata daripada Genghis Khan, “Yang paling nikmat dalam hidup adalah dapat mengalahkan musuh, kemudian memancung leher mereka serta merampas barang-barang berharga milik mereka dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka.” Semenjak kecil juga, Hulagu Khan telah dilatih bermain pedang, memanah dan menunggang kuda. Dia dilatih oleh ayahnya Tolui tanpa kenal erti penat dan lelah. Hulagu Khan akhirnya telah bercita-cita untuk menjadi seperti datuknya, seorang penakluk yang agung. Itulah angan-angannya yang bakal terlaksana...(bersambung)

12 January 2011

Doakan...

Salam ukhwah buat semua pembaca.. Asifah kerana terlalu lama menyepi dari ruangan ini.. Bukan disengajakan tetapi tidak mampu untuk berbuat yang terbaik lagi.. InsyaAllah akan datang ana akan kembali semula ke ruangan ini.. Saat ini, terlalu banyak komitmen yang membataskan masa ana untuk ke ruangan ini..

Sahabatku sekalian, ana memohon belas ihsan anda semua yang mengenali.. Doakan yang terbaik untuk atuk ana (Abu Bakar Mohd Rashid).. Semoga urusannya dipermudahkan Allah.. Andai 'pergi' itulah yang terbaik untuknya, maka Kau permudahkanlah sakaratulnya Ya Allah.. Tapi andai hidupnya masih tersisa lagi di dunia ini, maka Kau ringankanlah azabnya~ Amin...........

13 December 2010

Jagalah Hati...

Salam ukhwah, salam penuh barakah buat semua. Salam penuh kesyukuran atas rahmat Allah SWT yang masih lagi memberi segunung nikmat buat hambaNya yang dhaif lagi hina ini untuk memberi sedikit manfaat buat semua. Salam kasih dan sayang buat akhwat-akhwat dan para sahabat yang sentiasa di sisi kala suka dan duka. Serta salam penuh cinta buat 'anak-anak ku' yang sedang berjuang di medanMu buat meneguhkan iman dan menguatkan Islam. Moga kalian terus tegar di jalan ini.


Sudah sekian lama rasanya tatapan ini tidak dicoret. Mungkin keadaan capaian internet yang kurang memberangsangkan di rumah menyebabkan suasana untuk mencoret sepatah dua kata juga hilang. Namun, kata hati masih memberontak ingin menaip papan kekunci lappy ini. Bak kata orang, 'gian sudah...'


Telah lama daku mengkoreksi diri, sejak sekian lamanya. Kini benak fikiran mula menyedari. Betapa pentingnya buat diri untuk menjaga seketul daging. Ya, seketul daging yang digelar sebagai HATI. Seperti yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW bahawa, "Di dalam diri setiap manusia ada seketul daging. Jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, bila ia buruk maka buruklah seluruh tubuh. Daging itu adalah hati".


Metaforanya adalah seperti tongkat signal keretapi di sebuah landasan keretapi. Dengan menggerakkanya sedikit, maka landasan akan bergeser dan perjalanan keretapi pun berubah arah. Demikianlah halnya dengan hati. Gerak hati akan menentukan arah kehidupan seseorang. Demi menunjukkan betapa pentingnya seketul daging ini bagi menguruskan sebuah jasad, perkataan hati disebut lebih daripada 97 kali di dalam kalam suci Allah SWT yakni Al-Quran.


Hati berfungsi sebagai tapak atau medium perhubungan kita dengan Allah SWT. Dan sebagai hambaNya yang bersyukur dengan nikmatNya, seharusnya kita membina taman-taman yang indah di hati kita. Untuk siapakah akan dipersembahkan taman-taman itu yang diperhiaskan sebegitu indah? Tidak lain dan tidak bukan adalah buat Allah SWT. Tempat di mana Allah akan melihat siapakah hambaNya ini. Sesungguhnya hati-hati setiap insan itu akan dipegang oleh Allah. Di situlah tempatnya di mana Allah akan menurunkan hidayahNya. Dengan hatilah manusia dapat memahami ayat-ayat Allah, merasai kenikmatan yang Allah berikan dan menyampaikan cinta kepada Allah SWT. Dengan hatilah kita bakal mengenal Allah. Tanpa hati, manusia seakan buta di kala celik pandangan matanya. Oleh itu, adalah amat wajar bagi setiap insan yang masih bernafas di muka bumi ini untuk menyucikan hati selalu kerana hati adalah daging yang melambangkan siapa kita. Betapa pentingnya menjaga hati berikutan di situlah letaknya titik yang menyambungkan kita dengan Allah (sirrullah). Hati adalah PUSAT CINTA.


Ramai orang yang mengetahui bahawa mereka adalah hamba Allah, tetapi mereka tidak sedar bahawa mereka adalah hamba Allah. 'Tahu' adalah berkaitan dengan akal manakala 'sedar' adalah berkaitan dengan hati. Itulah yang menjadi punca kepada berlakunya perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti sifat-sifat buruk (sombong, takabur, etc) dan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang hamba. Saiyidina Ali karamallah huwajhah berkata, "Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (sedar)". Untuk sedar sebelum ajal menjemput, kita perlulah membuka mata hati supaya dapat melihat sesuatu dengan pandangan mata hati (pandangan yang paling tepat dan benar). Pandangan mata hati mampu melihat yang tersurat dan tersirat. Makanya, perlulah kita membersihkan hati dahulu. Analoginya, seperti mereka yang memakai kaca mata. Sebelum memakainya pasti akan dibersihkan dahulu agar bersih dari habuk dan debu.


Selain daripada pandangan hati, terdapat juga pandangan-pandangan lain seperti pandangan mata (yang selalu menipu), pandangan akal (yang selalu tersalah), serta pandangan nafsu (yang selalu melulu). Metaforanya seperti kita melihat diri kita di hadapan cermin. Andai kita melihat diri kita dengan pandangan mata, maka kita akan berkata, 'Wah, tak sangka cantik juga aku ni. Ni mesti sebab aku pakai produk ni.' Atau mungkin juga ada yang berkata, 'Alamak, dah nampak berisi lah badan ni. Nak kena diet lepas ni.' Andai kita melihat diri kita dengan pandangan akal, maka kita akan memikirkan beribu-ribu kemungkinan yang logik dek akal mengenai tubuh kita. Namun, segalanya hanyalah luaran sahaja. Andai kita melihat diri kita dengan pandangan nafsu, maka akan timbullah idea-idea 'bernas' bagaimana untuk membuat diri lebih 'laku'. Atau mungkin untuk menarik perhatian kaum yang satu lagi. Namun, andai pandangan hati yang kita gunakan untuk melihat diri kita ini, maka akan terdetiklah di jiwa betapa indahnya diri kita ini dicipta dan akan terdetiklah di benak fikiran ini betapa hebat dan agungnya Pencipta itu. Dari situ kita dapat mengenal Allah SWT.


Islam sebenarnya telah pun menerapkan cara untuk menyucikan hati melalui amalan-amalan yang diperkenalkan dalam Islam. Dengan mengucap dua kalimah syahadah, kita telah membersihkan diri kita dari pegangan-pegangan yang lain melainkan bahawa Allah itu adalah satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Dengan mendirikan solat, kita akan membersihkan hati kita dari segala macam kekotoran sebagaimana kita membersihkan diri kita dari kotoran semasa mengambil wuduk. Dengan berpuasa, kita akan menindas hawa nafsu kita dan membersihkan hati dari dikawal oleh hawa nafsu. Dengan berzakat, kita akan melatih hati kita dan membersihkan hati dari sifat tamak. Ianya juga adalah bertujuan untuk membersihkan harta. Dengan mengerjakan haji, kita akan membawa hati kita mengembara menuju Allah. Dan dengan melaksanakan ibadah korban, Ia membuktikan bahawa cinta kita hanyalah untuk Allah, melambangkan sebuah hati yang bertakwa. Ibadah korban memberi simbolik bahawa kita telah menyembelih hati kita yang cintakan dunia.


Antara cara yang disarankan untuk menyucikan hati adalah seperti:

  1. Mendirikan solat dan banyakkan berdoa
  2. Selawat ke atas Nabi Muhammad (>100x) sebelum tidur
  3. Solat taubat
  4. Membaca Al-Quran
  5. Bermaaf-maafan sesama sahabat setiap hari
  6. Bisikkan kepada diri perkara yang positif


Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW,
"Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air." Seorang sahabat bertanya, "Bagaimana menghapuskan karat tersebut?" Jawab Nabi SAW, "Banyakkan menyebut mati dan membaca Al-Quran".


Abdullah Antaqi berkata, "Lima perkara termasuk ubat bagi hati iaitu duduk bersama-sama orang soleh, membaca Al-Quran, mengosongkan perut, solat malam dan merendahkan diri ketika menjelang subuh."


Allah telah memberi amaran di dalam Al-Quran andai hambaNya tidak menggunakan hati dengan betul.


"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." [Al-A'raaf,7:179]


Secara tuntasnya, tuntutan untuk memperoleh kehidupan sebagai seorang hamba yang diredai oleh Tuannya perlukan kepada penyucian hati atau membersihkan hati. Dengan adanya penyucian hati, mata hati kita akan sentiasa celik dan mampu melihat sesuatu mengikut apa yang diinginkan oleh Allah SWT. Pengakhirannya, insyaAllah kita akan dapat mencintai Allah SWT dan sentiasa berada dalam reda dan naunganNya.


"Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada." [Al-Hajj,22:46]


~Wassalam~