HeLaiaN DeMi HeLaiaN

04 February 2011

Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 1)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..



Suatu ketika dahulu, Islam pernah bangkit dengan menakluki 2/3 wilayah di seluruh dunia. Islam pada waktu itu amat gah dan pemerintahnya juga atau digelar sebagai khalifah, sangat berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Zaman kegemilangan Islam memuncak semasa zaman pemerintahan kerajaan Bani Abasiyah (750M-1258M). Pemerintahannya bermula apabila Muhammad bin Ali, cicit Saidina Abbas berusaha mengembalikan pemerintahan kepada Bani Hasyim. Segalanya bermula semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz semasa zaman kerajaan Bani Umaiyyah. Usaha ini dijayakan oleh Abu al-Abbas al-Saffah dengan menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyyah dan beliau dilantik sebagai khalifah. Pusat pemerintahannya adalah di Baghdad. Semasa pemerintahan kerajaan Bani Abasiyah, Islam telah maju dengan pesat dalam bidang ilmu pengetahuan. Ramai ulama’ dan para cendekiawan yang dilahirkan semasa zaman ini dan mereka mahir dalam pelbagai bidang ilmu.


Namun, kegemilangan Islam seolah-olah terbantut di situ apabila tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan telah menyerang Kota Baghdad. Ramai ulama’ dan cendekiawan yang dibunuh dan kitab-kitab dibuang ke dalam sungai sehingga bertukar hitam air sungai tersebut dek dakwat tulisan dalam kitab-kitab itu. Kota Baghdad pada ketika itu bermandikan darah. Tentera Monggol yang menyerang kota 1001 malam itu membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Kaum lelaki tidak kira muda atau tua semuanya dibunuh. Kaum wanita diperkosa, malahan anak-anak kecil juga dibunuh dengan kejam. Segala-galanya lesap dengan sekelip mata. Maka, bermulalah zaman kemunduran umat Islam.


Siapakah sebenarnya orang Monggol?

Orang Monggol sebenarnya berasal dari daerah pergunungan di Monggolia. Keturunan mereka berasal daripada Alanja Khan yang mempunyai dua putera kembar, Tatar dan Monggol. Kedua-dua puteranya ini melahirkan dua suku bangsa yang besar. Bangsa Monggol hidup secara nomad dengan tinggal di dalam khemah dan berpindah-randah. Mereka menggembala dan memburu haiwan, malahan mereka juga menjalankan urusan jual beli dengan orang Cina dan Turki. Kehidupan speperti ini membawa kepada perwatakan mereka yang kasar, suka berperang dan berani. Mereka menganut agama yang menyembah bintang-bintang dan sujud ke arah matahari yang sedang terbit (Syamaniah).


Semasa pemerintahan Tamujin, beliau berjaya menyatukan semua bangsa Monggol. Pada 1206M, Tamujin telah menukar namanya kepada Genghis Khan yang membawa maksud Penakluk Yang Agung. Genghis Khan mula memperluas wilayah pemerintahannya dengan menakluki wilayah-wilayah sekeliling. Beliau telah berjaya menakluki China dan berusaha untuk menakluki negara-negara di Timur Tengah. Tentera Monggol akan melakukan rampasan harta, pembunuhan, dan perkosaan di setiap wilayah dan daerah yang mereka lalui. Genghis Khan mengamalkan sistem monarki dengan membahagikan wilayah takluk kepada anak-anaknya. Begitulah seterusnya sehinggalah kepada Hulagu Khan yang meperoleh wilayah Parsi daripada ayahnya, Tolui. Hulagu Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan.


Kisahnya bermula...

Hulagu Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan, seorang penakluk agung daripada bangsa Monggol. Semenjak kecil lagi, Hulagu Khan telah dididik oleh ibunya untuk menjadi seperti datuknya. Ibunya sering bercerita tentang kehebatan datuknya sehingga memberi kesan pada hati Hulagu Khan. Ibunya juga sering kali mengucapkan kata-kata daripada Genghis Khan, “Yang paling nikmat dalam hidup adalah dapat mengalahkan musuh, kemudian memancung leher mereka serta merampas barang-barang berharga milik mereka dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka.” Semenjak kecil juga, Hulagu Khan telah dilatih bermain pedang, memanah dan menunggang kuda. Dia dilatih oleh ayahnya Tolui tanpa kenal erti penat dan lelah. Hulagu Khan akhirnya telah bercita-cita untuk menjadi seperti datuknya, seorang penakluk yang agung. Itulah angan-angannya yang bakal terlaksana...(bersambung)

2 comments:

  1. wah, sgt hebat membaca sejarah islam itu sendiri...sesungguhnya islam itu memang hebat, hanya yg memikulnya adalah org yg hebat, maka jadilah kamu org yg hebat itu...
    along tunggu sambungan seerah ini~

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah..doakan supaya berkesempatan untuk menyambung siri yang seterusnya..

    ReplyDelete