HeLaiaN DeMi HeLaiaN

15 February 2011

Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 2)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Pada dinihari yang sunyi, tidur Hulagu Khan diganggu dengan kehadiran sahabatnya. Kedatangan sahabatnya itu, Utam Khan membawa satu berita buruk kepada Hulagu Khan.

"Ayahmu sudah meninggal dunia."

Hulagu Khan terkejut bukan kepalang seolah-olah dia sedang bermimpi. Utam Khan menyatakan bahawa ayah Hulagu Khan memimpin pasukan tenteranya ke sempadan Kota Baghdad lalu berlaku pertembungan dengan tentera Bani Abasiyah. Maka, berlakulah pertempuran dan ayahnya cedera parah lalu meninggal dunia. mendengar sahaja kata-kata sahabatnya itu, api dendam mula membara dalam jiwa Hulagu Khan untuk menuntut bela atas kematian ayahnya, Tolui. Ini ditambah lagi dengan hasutan dari ibunya.

Serentak dengan itu, Hulagu Khan pergi bertemu dengan bapa-bapa saudaranya untuk meminta bantuan ketenteraan seiring juga dengan arahan Mongke Khan selaku pengganti Tolui. Semua bapa saudaranya bersedia untuk membantu. Namun, di saat-saat akhir, Mongke Khan menukar fikiran dengan menyuruh Hulagu Khan menakluki wilayah Lurs dan Hashasim di Parsi kerana sudah berlaku pemberontakan untuk memerintah sendiri di wilayah tersebut. Sebaliknya, dirinya sendiri yang akan pergi ke China untuk menaklukinya.

Berita serangan tentera Monggol telah tiba di wilayah Lurs. Amir Lurs selaku pemerintah di wilayah tersebut segera bermusyawarah dengan menteri-menteri. Akhirnya, kata sepakat telah diambil untuk terus menentang tentera Monggol dan mereka bercadang untuk meminta bantuan daripada negara-negara Islam di bawah kerajaan Bani Abasiyah yang lain. Namun sayang sekali, tiada sebuah negara Islam pun yang ingin menghulurkan bantuan.

"Kami tidak mahu campur tangan. Kami tidak mahu berperang dengan tentera Monggol".

"Hulagu Khan datang dengan 200,000 tentera. Lebiah baik elakkan berperang dan ajaklah berdamai".

"Wilayah Lurs adalah tanah jajahan takluk Tolui. Jadi, Hulagu Khan berhak merebutnya semula".

Pelbagai alasan yang mereka berikan. Amir Lurs berasa sangat kecewa. namun, keputusan yang telah dibuat terus jua dipegang. Berbekalkan dengan tentera seramai 50,000 orang, mereka meneruskan tekad untuk melindungi tanah air dari dijajah walaupun diajak berdamai oleh Hulagu Khan. Strategi tentera Muslimin telah disusun dan tradisi sebelum peperangan bermula juga diikuti. Namun, akal Hulagu Khan lebih panjang. Akhirnya, tentera Amir Lurs tewas di tangan tentera Monggol dengan helah yang dibuat. Semua tawanan dibunuh termasuklah Amir Lurs.




Hulagu Khan bertanya kepada tenteranya soalan yang sama yang pernah ditanya oleh datuknya kepada tenteranya dahulu.

"Sebagai pahlawan Monggol, apakah kenikmatan hidup yang paling tinggi sekali?"

"Apabila dapat menunggang kuda dengan pantas di atas padang rumout yang hijau sambil memburu".

"Tidak. Yang paling nikmat adalah mengalahkan musuh lalu melayan mereka seperti binatang, merampas harta milik mereka, mendengar tangisan orang yang mencintai mereka, dan memeluk perempuan-perempuan cantik kepunyaan mereka."

Semua tentera bersorak. Mereka melakukan keganasan di Lurs. Semua tawanan lelaki dikumpulkan dan dipancung lehernya satu per satu di hadapan anak-anak dan isteri mereka. Harta dirampas dan wanita diperkosa.

Berita kekejaman tentera Monggol sampai kepada pemerintah wilayah Hashasim yang bersempadan dengan Lurs. Perbincangan dibuat dan Raja Hashasim memutuskan untuk tidak menyerang dan berdamai dengan tentera Monggol yang bakal menyerang mereka. Namun, Hulagu Khan tidak datang untuk berdamai tetapi berperang. Maka, Hashasim juga menerima nasib yang sama seperti Lurs. Tentera Monggol berpesta di Hashasim kerana dapat menaklukinya dengan mudah.

Ke manakah arah tujuan tentera Monggol yang kejam ini selepas wilayah Lurs dan Hashasim sudah ditakluki?

"Kita akan menakluki Kota Baghdad tidak lama lagi"...(bersambung)

0 ulasan:

Post a Comment