HeLaiaN DeMi HeLaiaN

22 June 2011

Awas! Kamu Sedang Diawasi...


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Melihat kepada tajuknya, sudah cukup mengerunkan dan bisa membuatkan kita tertanya-tanya. Diawasi oleh siapa? InsyaAllah, jawapannya akan ditemui di penghujung kisah ini.

Kisah 1
Tersebutlah sebuah kisah di zaman dahulu... Kisah yang berkisar tentang seorang budak yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pada zaman tersebut, negeri yang didiami oleh budak itu dipimpin oleh seorang pemerintah yang sangat menjaga kebajikan rakyatnya. Pemimpin tersebut sering kali membuat rodaan di kawasan tempat tinggal rakyatnya untuk mengambil tahu apa yang sedang berlaku pada rakyatnya.

Pada suatu hari, sedang pemimpin tersebut membuat rondaan di kawasan kampung, dia terlihat akan seorang budak lelaki yang sedang mengembala kambing. Pemimpin tersebut lalu berhasrat untuk menguji ketaatan budak tersebut terhadap tuannya. Lalu, pemimpin tersebut bergerak mendekati budak itu.

Setibanya berdekatan dengan budak itu, pemimpin tersebut lalu menyapanya dan menyatakan hasratnya untuk membeli kambing yang dijaga itu. Setelah berfikir, budak itu menolak hajat pemimpin tersebut kerana dia menyatakan bahawa kambing itu adalah kepunyaan tuannya. Maka, dia tidak boleh untuk menjualkannya sesuka hati. Andai tuannya mengetahui tentang hal itu, pasti dia akan dimarahi.

Pemimpin masih lagi mencari helah untuk menguji ketaatan budak itu. Lalu, dia menyambung pujukan dengan menyatakan bahawa tuannya tidak akan tahu seandainya tidak diberitahu perkara yang sebenar. Jika dikatakan bahawa kambing itu hilang atau telah dimakan oleh serigala, pasti tuannya akan percaya. Pemimpin tersebut malah telah menawarkan harga yang tinggi untuk membeli kambing itu.

Namun, buat ke sekian kalinya budak itu masih menolak hajat pemimpin tersebut. Dia menjawab, "Benar, tuan aku mungkin tidak tahu, tetapi Allah Maha Tahu."

Setelah berpuas hati dengan jawapan dari budak itu, pemimpin tersebut pun kembali pulang ke istananya dan mengarahnya pegawainya untuk memanggil budak itu menghadapnya di istana. Pada saat ketibaan budak itu si istana, barulah dia mengetahui bahawa lelaki yang ingin membeli
kambing darinya itu adalah pemimpin negeri. Atas rasa kagum dengan sikap budak itu yang sangat taat pada tuannya, lebih-lebih lagi rasa takut pada Tuhannya, maka pemimpin tersebut memberikan hadiah kepada budak itu. Pemimpin tersebut memuji sifatnya dan mengharapkan agar budak itu dapat terus mengekalkan sifatnya yang mulia itu. Pemimpin tersebut adalah Khalifah Umar al-Khattab.

Kisah 2
Semasa zaman dahulu, terdapat seorang guru yang amat dikenali dengan ilmunya yang luas. Guru ini mempunyai ramai anak murid, namun dalam sekian ramainya anak murid dia, ada seorang anak murid yang menjadi kesayangannya. Hal ini sudah mula disedari oleh kebanyakan anak muridnya yang lain. Mulalah timbul rasa cemburu dan iri hati terhadap anak murid kesayangan guru mereka ini. Sehinggakan sampai suatu masa, perkara ini sampai ke telinga gurunya sendiri.

Guru tersebut berfikir-fikir untuk menyelesaikan masalah ini agar anak muridnya yang lain sedar hakikat sebenar mengapa dia bersikap begitu dengan anak murid kesayangannya. Pada suatu hari, si guru pun mengumpulkan semua anak muridnya. Dia memberikan seekor burung merpati kepada setiap seorang anak muridnya dan mengarahkan mereka untuk menyembelih burung tersebut di suatu tempat yang tidak terlihat oleh sesiapa pun. Dia memberikan suatu tempoh masa untuk anak muridnya menyelesaikan tugasan ini.

Setelah tempoh masa yang diberikan sudah berlalu, semua anak murid guru tersebut berkumpul kembali dengan mebawa bersama mereka bangkai burung merpati yang sudah siap disembelih. Namun, hanya seorang sahaja anak murid yang masih tidak menyembelihkan burung merpati itu dan dia adalah anak murid kesayangan guru mereka. Hal ini telah menimbulkan suasana yang membuatkan anak murid yang lain merasa bangga dan yakin bahawa anak murid kesayangan guru mereka itu pasti akan dimarahi kerana tidak mengikut arahan.

Melihatkan keadaan itu, si guru pun bertanya kepada anak murid kesayangannya mengapa tidak mengikuti arahannya. Lalu, dengan wajah yang tertunduk dia pun menjawab, "Maafkan saya, guru. Saya tidak mampu untuk mengikuti arahan yang guru berikan. Ini kerana sudah puas saya mencari tempat yang sesuai untuk menyembelihnya tetapi tiada satu pun tempat yang tidak terlihat oleh Allah."

Mendengar penjelasan anak murid kesayangannya itu, si gurur tersenyum puas. Anak muridnya yang lain terdiam dan mula memahami hal yang sebenar mengapa gurunya lebih menyayangi si dia berbanding mereka.


Jika direnung kembali tentang kisah di atas, betapa mulia dan bersihnya hati budak-budak itu. Mereka amat takut andai apa yang dibuatnya nanti bakal diketahui oleh Allah. Dan jelaslah bahawa mereka amat yakin akan adanya pengawasan daripada Allah ke atas diri mereka. Subhanallah... Sangat menakjubkan bagi seorang budak untuk bersifat sebegitu. Reflekslah kembali kepada diri kita yang sudah hidup berapa tahun di dunia ini. Koreksilah kembali diri kita ini yang pada lisannya gagah mengaku percayakan Allah, namun sejauh manakah keyakinan kita tentang pengawasan Allah (muraqabatullah)?

"Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar dari dalamnya, apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke sana. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan." [Al-Hadid : 4]

Sesungguhnya keimanan yang paling utama adalah mengetahui dan menyedari bahawa Allah bersama-sama kita di mana pun kita berada. Dan percayalah bahawa andai keyakinan ini benar-benar terpasak di hati setiap Muslim di dunia ini, pasti tiada lagi maksiat yang akan berlaku dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka sentiasa berwaspada dengan CCTV Allah yang sentiasa berada di mana-mana sudut sekali pun.



Hasil dari keyakinan terhadap pengawasan Allah ini bakal memberi impak yang maksimum kepada individu tersebut. Nilai jujur dan ikhlas dalam diri akan tersemai dengan subur serta keistiqamahan dalam berbuat sesuatu amalan akan jelas terpapar dalam tingkahlakunya. Kesannya, nilai ihsan akan mulai hidup mekar dalam jiwa individu Muslim itu. Subhanallah... Di setiap perbuatannya, dia bakal merasakan seolah-olah dia melihat Allah. Dan walaupun dia tidak melihatNya, dia yakin sekali bahawa Allah sentiasa melihatnya. Itulah nilai ihsan. Subhanallah...

Maka, ayuh sahabat sekalian. Kita sama-sama tingkatkan keimanan kita kepada Allah. Sama-samalah kita mantopkan keyakinan kita terhadap pengawasan Allah. Yakinlah bahawa, Allah tu sentiasa ada dengan kita. Berwaspadalah dengan setiap tingkahlaku mu. Berfikirlah sebelum bertindak. Apa Allah redha atau pun tidak. Awas! Kamu sedang diawasi... Wassalam~

01 June 2011

Kau Pergi Jua...

Salam...
Detik 7.25pm pada tanggal 29 Mei 2011, arwah Abu Bakar Mohd Rashid telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di teratak impiannya, Lot 643 Sg. Jan, Jerantut, Pahang. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh dan diredhaiNya yang telah dijanjikan syurga buat mereka.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri,koreksi diri, sejauh mana lagi kita mampu berjalan di muka bumi Allah ini. Sampai masa kelak, kita pula akan menghadap Yang Esa. Talkin yang dibaca buat si mati, biarlah menjadi pedoman buat sang insan yang masih bernyawa. Semoga iringan langkah ke pusara memberi seribu satu peringatan dan keinsafan dalam relung hati dan jiwa.

Buatmu aki. InsyaAllah, Nina akan sentiasa doakan aki di sana. Semoga segala urusan aki di alam sana dipermudahkan. Maafkan Nina, aki. Andai semasa menjaga aki di hospital dulu ada kekasaran yang berlaku. Benar, tahap kesabaran Nina masih senipis kulit bawang. Aki, kenangan bersamamu akan terus terpahat dalam memori Nina. Selamatlah kau di sana, duhai aki~~~

...Wassalam...