In The Name of Allah, The Most Gracious The Most Merciful
"Sesiapa yang berjaya membawa Muhammad hidup atau mati ke hadapan para pembesar Quraisy, akan diberi hadiah 100 ekor unta betina muda yang hampir beranak."
Mendengar pengumuman tersebut, timbullah rasa tamak dalam hatinya untuk memiliki 100 ekor unta itu. Dia bertekad untuk merebut hadiah tersebut. Dek kerana rasa tamak yang menebal dalam dirinya, hasratnya iu dipendamkan sendirian di dalam diri agar tiada yang mendahuluinya.
Lalu dipersiapkanlah segala kelengkapan untuk menjejaki di mana Muhammad berada. Namun, segala kelengkapan disiapkan dalam keadaan rahsia tanpa pengetahuan sesiapa pun melainkan pembantunya.
"Hati-hati supaya tidak nampak oleh orang lain. Siapkan juga senjataku dan kamu keluar dari pintu belakang," arahnya kepada pembantunya.
***
Pada suatu pagi, berita Rasulullah SAW telah hilang dari rumahnya menggemparkan kaum Quraisy yang mengepung rumah baginda pada malamnya. Seluruh rumah Bani Hashim dan para sahabat digeledah untuk mencari di mana Rasulullah SAW namun usaha mereka gagal.
Oleh kerana merasakan kedudukan mereka semakin tergugat andai benar Rasulullah SAW telah meninggalkan kota Mekah, mereka telah mengumpulkan para perisik yang mahir dan berpengalaman untuk menjejaki Rasulullah SAW dan sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq. Mereka mencari sehingga ke Gua Thur. Sehinggakan jarak antara mereka sangat hampir, Rasulullah SAW dan Abu Bakar berada dalam gua tersebut dalam para perisik berada tepat di atas mereka.
"Mengapa engkau menangis, hai Abu Bakar?" tanya baginda berbisik.
"Demi Allah, aku menangis bukanlah kerana khuatir akan keselamatan diriku. Sebenarnya aku cemas seandainya sesuau yang tidak diinginkan menimpa diri tuan, ya Rasulullah!" jawab Abu Bakar.
"Jangan takut, hai Abu Bakar! Sesungguhnya Allah beserta kita," kata Rasulullah menenangkan sahabatnya.
Dan benarlah kata-kata pujukan Rasulullah SAW itu. Allah memang benar-benar bersama mereka. Mereka diselamatkan dari para perisik yang berlegar di sekitar Gua Thur. Mereka tidak jadi untuk meneliti lebih jauh ke dalam gua apabila melihat sarang labah-labah yang masih elok di pintu gua. Mereka berputus asa dalam mencari Rasulullah SAW dan sahabatnya, lalu pengumuman pun dibuat di segenap kabilah di sepanjang jalan antara Mekah dan Madinah.
"Sesiapa yang berjaya membawa Muhammad hidup atau mati ke hadapan para pembesar Quraisy, akan diberi hadiah 100 ekor unta betina muda yang hampir beranak."
***
Setelah segala persiapan untuk menjejaki Rasulullah SAW dan Abu Bakar siap dibuat, dia pun segera memacu kudanya dengan laju. Dia memang terkenal sebagai penunggang kuda yang handal. Perawakannya tinggi besar. Kedua-dua matanya tajam, sebagai pencari jejak yang cermat, mahir dan berpengalaman. Jalan-jalan yang sukar dilalui, kudanya tangkas dan amat terlatih.
Sedang dia memacu kudanya melaju, tanpa disangka-sangka tiba-tiba kaki kudanya tersadung lalu menyebabkan dia jatuh tergulinag dari belakang kuda.
"Kuda sial," dia menyumpah.
Namun, tanpa mempedulikan rasa sakit, dia naik semula ke atas belakang kuda dan segera memacu lagi. Sayang sekali, kaki kudanya tersadung lagi. Dia hampir-hampir berputus asa tetapi apabila memikirkan ganjaran yang bakal diperolehi, dia meneruskan tunggangannya. Tidak jauh dari tempat dia jatuh tadi, dia melihat Rasulullah SAW dan Abu Bakar di hadapan. Dia pun segera ingin mengambil busur untuk memanah ke arah Rasulullah SAW. Namun, tanpa disangka-sangka tangannya menjadi kaku dan kaki kudanya terbenam ke dalam pasir. Dia mencuba untuk menggerakkan kudanya namun dia tidak mampu.
Lalu, dia menyeru kepada Rasullullah SAW dan Abu Bakar dengan suara mengharap belas kasihan, "Hai kamu berdua! Berdoalah kepada Tuhanmu supaya Dia melepaskan kaki kudaku. Aku berjanji tidak akan mengganggu kamu!"
Rasulullah SAW berdoa kepada Allah dan tidak semena-mena kaki kudanya bebas. Namun, dek kerana perasaam tamak masih menguasai hatinya dia erus mengejar Rasulullash SAW dan Abu Bakar. Dan dengan kuasa Allah, kaki kudanya terbenam kembali ke dalam pasir.
"Ambillah segala bekalan, harta dan senjataku. Aku berjanji demi Allah kepada kamu berdua, akan menyuruh setiap orang yang berusaha mencari kamu di belakangku supaya kembali," dia merayu lagi.
"Kami tidak perlu bekalan dan hartamu. Cukuplah kalau engkau suruh kembali orang yang hendak mencari kami," jawab Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW berdoa, lalu terbebaslah kaki kudanya.
***
"Apa yang engkau kehendaki dari kami?" tanya Rasulullah SAW.
"Demi Allah, ya Muhammad! Aku yakin agama yang tuan bawa akan menang dan pemerintahan tuan akan tinggi. Berjanjilah kepadaku, apabila akau datang nanti ke kerajaan tuan, maka tuan akan bermurah hati kepadaku. Tuliskanlah itu untukku," mintanya.
"Bagaimana wahai Suraqah bin Malik jika pada suatu masa nanti engkau memakai gelang kebesaran kisra?"
"Gelang kebesaran Kisra Hurmuz?" tanya Suraqah terkejut.
"Ya, gelang kebesaran Kisra Hurmuz," jawab Rasulullah SAW meyakinkan.
Lalu, Rasulullah SAW menyuruh Abu Bakar menulis janji itu di atas sepotong tulang dan kemudian diserahkan kepada Suraqah.
***
"Kembalilah kamu semuanya! Telah kuperiksa seluruh tempat dan jalan-jalan yang mungkin dilalui. Namun, aku tidak menemui si Muhammad sialan itu. Padahal kamu tidak semahir aku mencari jejak," ujar Suraqah kepada orang yang dijumpainya yang hendak mencari Rasulullah SAW.
Dia mengotakan janjinya.
Begitu juga dengan Rasulullah SAW. Baginda juga mengotakan janjinya walaupun saat iu baginda telah wafat. Atau lebih tepat lagi, Allah lah yang telah mengotakan janji itu. Semasa tampuk pemerintahan telah beralih ke tangan Khalifah Umar al-Khattab, kerajaan Parsi telah berjaya ditumbangkan. Banyak harta rampasan perang milik kerajaan Parsi yang berpindah milik kepada pasukan tentera Islam.
Apabila melihatkan harta itu, khalifah terpandang akan dua buah gelang kebesaran kisra, cantiknya tiada tandingan. lalu, khalifah memanggil Suraqah bin Malik. Khalifah telah memakaikan Suraqah bin Malik dengan pakaian kebesaran kisra, lengkap dengan celana dan kasutnya. Kemudian disisipkan pedang dengan ikat pinggang kebesaran kisra. Diletakkan mahkota di kepala Suraqah. Sesudahnya, dipakaikannya pula gelang kebesaran kerajaan di kedua-dua tangan Suraqah.
Suraqah bin Malik kelihatan hebat dengan pakaian yang disarungkan ditubuhnya, bahkan kelihatan lebih hebat dengan keislamannya di tangan Rasulullah SAW suatu ketika dahulu. Setelah terbebasnya Mekah dari zaman jahiliyah, setelah sinar Islam mula menyinar ke seluruh pelosok bumi Mekah.
Janji dikota~ Allahu Akbar!