HeLaiaN DeMi HeLaiaN

04 May 2011

Sayang Si Ibu...


“Mak buat ape tu, goreng cekodok malam-malam ni?” tanyaku pelik.

“Macam tu la seorang mak yang sanggup buat ape saje untuk anak dia…Anak pulak camne?”

Aku terkesima saat mendengar omelan emak…Ada benarnya kata-kata emak itu. Seorang ibu sanggup buat apa sahaja asalkan anak-anaknya gembira dan bahagia. Biarlah dia seorang sahaja yang merasai sukarnya menanggung anak-anak yang sedang membesar terutamanya orang macam aku ni. Banyak songeh la katakan...

Emak terus menggoreng cekodok atas permintaan adik aku. Aku pulak tak terasa nak menolong pun...ya, mungkin juga terpanah dengan kata-kata si ibu yang penyayang itu. Aku berfikir dan terus berfikir...tak tahu apa yang difikirkan.

Adik terus makan cekodok dengan penuh berselera. Erm, mimpi apa la adik aku ni sampai nak makan cekodok malam-malam ni. Tadi baru je buka puasa, takkan la masih lapar lagi...sengaja nak bermanja-manja dengan emak la tu. Yelah, kami ni jarang-jarang dapat bermanja dengan emak sebab masing-masing belajar di universiti yang jauh dari emak. Adik di Perlis, seorang lagi di Ipoh, aku di Penang dan emak di Putrajaya. Sekarang ni cuti semester, baru la kami dapat berjumpa dengan emak. Sejak abah meninggal dunia, beginilah hidup kami...Kalau rindu pada emak dan nak berjumpa juga, nampaknya kena ke Putrajayalah kami. Emak tinggal dengan kakak sekaligus menjadi pengasuh cucu bongsu emak yang baru berusia 8 bulan. Alhamdulillah, Allah masih mempermudahkan urusan kami setakat ini. Moga Allah meluaskan rezeki kakak aku sekeluarga atas pengorbanannya terhadap emak.

Tak lupa juga kepada abang aku sekeluarga yang kini menggalas beban sebagai ketua keluarga kami sebagai pengganti arwah abah. Allah mengujinya apabila anak bongsunya sakit dan terpaksa dibedah. Lebih daripada RM2K terpaksa dikorbankan. Pasti dia merasai betapa peritnya menyara anak-anak sepertimana arwah abah dan emak juga. Moga Allah memberinya kesabaran yang banyak dalam menempuhi dugaan Allah yang hanya sedikit ini.

Teringat pula aku kepada abang aku yang jauh itu...aku siap kena marah lagi saat aku menolak tawaran UiTM untuk sambung degree di sana sebab katanya dia boleh 'support' yuran aku...tak sangka, penyayang jugak abang aku yang pada zahirnya nampak kasar...Dalam takde duit tu masih juga nak membantu kami adik-adiknya walaupun hanya RM10 je...Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari...Moga Allah mempermudahkan urusannya sebagaimana dia memudahkan urusan orang lain.

Beginilah sketsa kehidupan seorang insan yang bernama Masitah. Aku belum diuji dengan ujian yang sangat berat sehingga aku terduduk dan menangis sepertimana arwah abah dan emak dahulu. Aku yakin, arwah abah dan emak pasti pernah merasai keperitan yang lebih hebat daripada aku. Ujian yang besar pasti pernah singgah dalam kehidupan mereka. Mengingatkan itu, aku jadi kagum. Kagum dengan ketabahan mereka. Allah pasti melimpahkan kesabaran yang sangat besar kepada mereka dalam menempuhi segala-galanya. Moga Allah mengurniakan aku kesabaran yang lebih hebat dalam menempuhi dunia yang sangat mencabar saat ini dimana jahiliyah moden sangat berleluasa, jahiliyah yang lebih hebat berbanding jahiliyah di zaman Rasulullah SAW.

Ya Allah, ampunilah aku, kedua orang tuaku, adik-beradikku, sanak saudaraku, guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Letakkanlah dunia hanya di tangan kami, bukannya di hati kami supaya kami tidak menyintainya dengan sangat...Perkenankanlah doa hambaMu ini ya Allah.

”Kamu buat ape tu Kakcik?” sapa emak.

”Takde mende mak, saje je menaip-naip...” jawabku spontan.

Lamunan aku terhenti saat mendengar laungan ibu yang kucintai itu. Aku segera menutup laptop dan berlalu ke birai katil usang emak. Emak kelihatan sangat letih...Rambut emak yang tinggal sedikit itu ku usap perlahan...sangat sedikit rambut emak yang berwarna putih, yang lain masih berwarna hitam...Emak cakap, jangan dicabut uban tu sebab ia adalah bunga-bunga syurga...Aku ketawa sendiri saat itu...gembira dan bersyukur kerana Allah mengurniakan aku seorang ibu yang sangat penyayang dan penyabar.

Hargailah kedua orang tua kita selagi mereka masih ada...

1 comment: