HeLaiaN DeMi HeLaiaN

29 October 2010

Buat baik berpada-pada...

Situasi 1

"Alamak! Terlupa nak hantar surat dekat pejabat. Dah tak sempat dah ni. Kejap lagi kelas dah nak mula", bermonolog si dia seorang diri.

"Meh la aku hantarkan. Aku takde kelas kejap lagi. Free-free je", sapa seorang teman menghulurkan bantuan.

"Betul ke? Wah! Terima kasih ya. Ko lah sahabat aku dunia akhirat", berkata si dia dengan nada ceria.


Situasi 2

"Malasnya nak pergi kelas", keluh seorang pelajar.

"Ko malas? Ok tak ape. Biar aku yang 'pergikan' ya. Ko lepak je lah dekat rumah", balas si 'sahabat sejati'.


Situasi 3

"Abang, bangunlah qiam. Dah lewat dah ni", kejut si isteri tercinta.

"Hmm.. Ala, mengantuklah sayang. Abang tidur lewat semalam. Siapkan kerja", ucap si suami penuh ber'hemah'.

"Laa yeke? Tak apelah abang. Abang sambunglah tidur. Biar sayang yang solatkan untuk abang ya", balas si isteri 'solehah'.



Tiga situasi yang berbeza. Tetapi motifnya adalah sama. Berbuat baik kepada orang lain. Sungguh, berbuat baik kepada orang lain adalah satu pekerjaan atau tindakan yang sangat mulia. Orang sekeliling juga akan berasa senang dengan diri kita andai kita berperilaku seperti itu. Tapi cubalah renung-renung kembali peribahasa lama kita yang berbunyi, 'buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'. Frasa 'buat jahat jangan sekali' adalah agak telus maknanya yang pasti mudah untuk difahami oleh sesiapa sahaja yang membacanya. Tetapi bagaimana pula dengan frasa 'buat baik berpada-pada'? adakah semua akan memahaminya tanpa ada sebarang penjelasan yang lanjut? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan frasa itu? Adakah ia bermakna jika kita melakukan kebaikan haruslah ada batasannya? Peliknya! Jika tadi dikatakan berbuat kebaikan adalah satu pekerjaan yang mulia. Maka, mengapa harus dibatas-bataskan pula?


Pelik tapi benar. Itulah frasa yang paling tepat yang hamba Allah ini rasakan sesuai untuk menggambarkan tentang situasi ini. Benar, berbuat baik terhadap orang lain adalah amat digalakkan. Hamba Allah ini merasakan bahawa adalah mustahil jika setiap manusia di dunia ini tidak pernah berbuat baik terhadap orang lain atau pun sebaliknya. Pasti pernah walaupun sekecil-kecil perbuatan yang mungkin tanpa disedari telah berlaku. Kerana itulah lumrah setiap insan bergelar manusia. Sudah menjadi fitrahnya untuk sentiasa mengarah kepada kebaikan. Namun begitu, setiap perbuatan yang kita lakukan haruslah dalam skop yang betul, yakni pada tahap yang tepat. jika tidak, pasti akan mengundang berlakunya situasi yang kedua malahan tidak mustahil juga situasi yang ketiga. Na'uzubillah...


Dalam syariat Islam juga menekankan agar kita melaksanakan sesuatu perkara secara bersederhana. Tidaklah terlalu melampau-lampau(ghullu) atau pun terlalu meringan-ringankan(tasahul).


"Dan (termasuklah hamba-hamba Tuhan Yang Maha
Pengasih) orang-orang yang apabila menginfakkan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, di antara keduanya secara wajar,..."

[Surah Al-Furqan, 25:67]

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud,


"Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!"

(HR Abu Daud)


Oleh itu, Hamba Allah di sini memberi peringatan dan nasihat kepada sahabat-sahabat sekalian termasuklah diri ini sendiri. Berbuatlah baik semampumu. Semoga dirimu dicintai oleh semua. Namun, dalam pada berbuat baik itu batasilah dirimu(sederhana) agar kau tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah yang dikasihiNya. Ameen...


Salah dan silap harap ditegur sebagai menambahbaikan Hamba Allah yang dhaif lagi hina ini~

1 comment: