HeLaiaN DeMi HeLaiaN

27 November 2009

Jika Dahi Tak Mencecah Ke Sejadah Di Dunia..

Bersihlah kamu sebelum kamu dibersihkan,
Berwuduklah kamu sebelum diwudukkan,
Dan bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan,
Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan,
Dengan kain kafan yang serba putih,
Pada waktu itu tak guna lagi berseri...

Waktu orang hadir itu merintih,
Selepas itu kau akan diletakkan ke lantai,
Lalu dilaksanakan solat jenazah,
Dengan 4 kali takbir dan satu salam,
Beserta fatihah, selawat dan doa,
Sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah,
Tapi apakah dengan 4 kali takbir itu,
Dapat menebus dosa solat yang ditinggalkan,
Seumur hidup,
Apakah dengan solat tanpa rukuk dan sujud,
Yang telah luput,
Sungguh tertipulah dirimu jika berfikir begitu,
Justeru ku menyeru sekalian muslimin muslimat...

Usunglah dirimu untuk solat,
Sebelum engkau diusung ke liang lahat,
Menjadi makanan cacing dan ulat,
Dirimu ke masjid,
Tangisilah dosa-dosamu di dunia,
Kerana tangisan tidak berguna di alam barzah...

Sucilah kamu sebelum kamu disucikan,
Sedarlah kamu dengan panggilan Izrail,
Yang menakutkan,
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan,
Kerana ia berguna untuk yang tinggal,
Dan bukan yang mati,
Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan...

Namun ketika itu istighfar tak dapat menyelamatkan,
Ingatlah di mana jua kau berada,
Kau tetap memijak bumi Tuhan,
Dan dibumbungi langit Tuhan,
Justeru bila Dia menyeru sambutlah seruanNya...

Sebelum Dia memanggil buat kali yang terakhir,
Ingatlah kamu dijadikan dari setitis air,
Yang tidak bererti,
Lalu menjadi segumpal darah,
Lalu menjadi seketul daging,
Lalu daging itu membentuk tulang-tulang,
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti...

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai ini,
Yang kalau jatuh ke tanah,
Ayam tak patuk itik tak sudi,
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu,
Yang lebih agung dari malaikat,
Lahirmu bukan untuk dunia,
Tapi mulakanlah untuk melayar bahtera akhirat...

Sambutlah seruan haiya'alalsolah,
Dengan penuh rela dan bersedia,
Sahutlah seruan haiya'alalfalah,
Jalan kemenangan akhirat dan dunia,
Ingatlah yang kekal ialah amal,
Menjadi bekal sepanjang jalan,
Menjadi teman di perjalanan,
Untuk kembali ke pangkuan Tuhan...

Pada hari itu,
Tiada berguna harta, tahta dan putra,
Isteri, kad kredit dan kereta,
Kondominium, saham dan niaga,
Kalau dahi tidak mencecah sejadah di dunia...

Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.....

SUDAHKAH ANDA MUHASABAH DIRI?????

(Siaran dalam Radio IKIM.FM)

0 ulasan:

Post a Comment