HeLaiaN DeMi HeLaiaN

10 May 2011

Gelombang Keadilan...

By: Shoutul Harokah

Kan melangkah kaki dengan pasti
Menerobos segala onak duri
Generasi baru yang telah dinanti
Tak takut dicaci tak gentar mati

Bagai gelombang terus menerjang
Tuk tumbangkan segala kezaliman
Dengan tulus ikhlas untuk keadilan
Hingga pertiwi gapai sejahtera

Takkan surut walau selangkah
Takkan henti walau sejenak
Cita kami hidup mulia
Atau syahid mendapat syurga



Kisah Hitam Suatu Ketika Dahulu... (Siri 3)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Khurasan, pada suatu ketika dahulu merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kerajaan Abasiyah di Baghdad. Namun, penduduknya menuntut untuk memerintah sendiri negeri mereka. Negeri tersebut di perintah oleh golongan pengikut mazhab Hanafi dan ditentang oleh golongan pengikut mazhab Syafie. Kewujudan dua golongan dalam negeri ini menimbulkan pepecahan dan hampir membawa kepada peperangan sesama sendiri. Akibatnya, salah seorang pengikut mazhab Hanafi telah tekad mengambil keputusan untuk meminta bantuan tentera Monggol bagi mengalahkan golongan penentang.

"Saya pengikut mazhab Hanafi. Kami mahu pengikut mazhab Syafie dihaspuskan dari Khurasan dan kami sedia membantu."

Setelah berbincang dengan ketua tentera Monggol, persetujuan berlaku antara Hulagu Khan dan Nasir Lidinillah selaku wakil dari golongan bermazhab Hanafi. Penaklukan terhadap Khurasan pun berlaku dengan mudah tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Hulagu Khan telah melantik Nasir Lidinillah sebagai pemerintah di negeri itu.

Dengan berlakunya penaklukan yang pantas terhadap wilayah Lurs, Hashasim dan Khurasan, ini menimbulkan perasaan gerun terhadap gabenor di wilayah Anadol dan Mosul. Impaknya, kedua-dua gabenor bagi wilayah ini telah menjalinkan persahabatan dengan Hulagu Khan dan rela menyerahkan wilayah mereka untuk berada di bawah jajahan takluk tentera Monggol asalkan mereka terus menjadi gabenor. Tanpa disedari, impak yang lebih besar telah dirasai oleh Hulagu Khan apabila lebih banyak bantuan yang mampu diperolehnya dalam usaha untuk menakluki Baghdad.

Lain pula kisahnya di Baghdad. Sedang wilayah-wilayah sekitar menghadapi gejolak penaklukan tentera Monggol, Baghdad pula sedang berdepan dengan krisis dalaman khususnya dalam pemerintahan. Sistem pemerintahan di Baghdad menggabungkan tiga bangsa iaitu bangsa Arab, Turki dan Parsi. Acap kali berlaku perselisihan pendapat antara menteri-menteri sebagai wakil bagi setiap bangsa ini dalam mesyuarat yang dijalankan bersama khalifah. Setiap wakil pasti mengeluarkan pendapat yang lebih berpihak kepada kepentingan bangsa masing-masing. Akibatnya, msyuarat yang dijalankan pasti akan berakhir dengan pertikaman lidah dan membawa kepada kecelaruan Khalifah al-Musta'shim Billah.

Keadaan semakin kecoh dengan kisah pembunuhan ketua tentera kerajaan Baghdad iaitu Hurnain. Hal ini dibawa dalam mesyuarat antara khalifah dan menteri-menteri. Kesudahannya adalah sama apabila percanggahan pendapat berlaku dalam usaha untuk melantik ketua tentera yang baru.

"Jawatan yang penting itu perlu diberikan kepada bangsa Arab daripada keturunan Rasulullah."

"Kami bangsa Turki juga layak memegang jawatan ketua tentera. Tambahan pula kami yang membantu menegakkan kerajaan Abasiyah semenjak dari dahulu."

"Kami bangsa Parsi juga layak bagi memegang jawatan yang penting itu."

Situasi ini telah mencetuskan perbalahan antara mereka dan membuatkan khalifah berada dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan. Akhirnya, mesyuarat tersebut terpaksa ditangguh. Keadaan khalifah yang lemah dalam mentadbir pemerintahan kerajaan membawa kepada lemahnya juga kerajaan Bani Abasiyah. Jika dahulu, wilayah pemerintahan kerajaan ini amat luas merangkumi Maroko, Syria, Iraq, Persia, Turki dan India. Namun kini, wilayah tersebut telah berpecah-pecah menjadi negeri kecil dan mengisytiharkan pemerintahan sendiri. Kerajaan Bani Abasiyah hanya berkuasa di kota Baghdad dan kawasan sekitarnya sahaja. Ini menjadi salah satu punca kemungkinan tumbangnya kerajaan ini.





Dalam keadaan yang runsing itu, Khalifah al-Musta'sim Billah telah berbincang dengan anaknya Abu Bakar dan isterinya Asiah. Setelah berbincang dan memikirkan baik buruknya, khalifah telah bersetuju untuk menerima cadangan anaknya dengan melantik sahabat baik anaknya, Rukunuddin al-Daudar sebagai ketua tentera. Lantas, keputusan ini tidak berpihak kepada mana-mana menteri. Bagi sesiapa yang tidak berpuas hati, dipersilakan untuk meletakkan jawatan. Oleh kerana sayang akan jawatan yang disandang, semua menteri tidak membantah walaupun dalam hati masing-masing tidak bersetuju dengan perlantikan tersebut.

Kisah pelantikan ketua tentera yang baru ini sampai kepada telinga penduduk di Kirkuk, salah satu wilayah tanah jajahan kerajaan Bani Abasiyah. Maka, berlakulah dialog antara penduduk yang sebahagiannya menyokong dan sebahagian lagi menolak pelantikan dari kalangan bangsa Arab. Dialog yang pada asalnya hanyalah borak-borak kosong telah bertukar menjadi pertikaman lidah antara penduduk dan membawa kepada pergaduhan yang melibatkan bangsa Parsi dan bangsa Arab. Akhirnya, tercetuslah rusuhan antara kaum. Bangsa Parsi yang menjadi kaum majoriti di Kirkuk telah membelasah penduduk Arab di sana sehinggakan mereka terpaksa melarikan diri ke Basrah. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Arab di Basrah lalu mereka bertindak dengan membelasah penduduk Parsi di sana. Akibatnya, penduduk Parsi di Kirkuk telah membentuk satu kumpulan untuk menyerang penduduk Arab di Basrah.

Oleh kerana takut dengan serangan tersebut, penduduk Arab menghantar wakil untuk mengadu kepada khalifah. Namun, usaha tersebut berjaya dipatahkan oleh menteri yang berbangsa Parsi iaitu Umayiddudin Muhammad al-Aqami. Wakil tersebut akhirnya pergi mengadu kepada Abu Bakar selaku anak khalifah. Abu Bakar yang membenci orang Syiah yang merupakan bangsa Parsi telah melaporkan situasi itu kepada Rukunuddin al-Daudar dan ketua tentera itu pergi menghadap khalifah untuk mendapatkan persetujuan bagi membanteras pemberontakan itu. Khalifah telah memberi kebenaran untuk bertindak.

Maka, berlakulah pertumpahan darah di Kirkuk. Kirkuk berjaya ditawan dan ramai orang Parsi yang terbunuh. Ini menimbulkan kemarahan Umayiddudin al-Aqami. Dia menafikan tindakan yang diambil oleh ketua tentera itu sebagai satu tindakan yang wajar. Dia memberi cadangan supaya jawatan ketua tentera itu dilucutkan dari Rukunuddin namun tidak diterima oleh khalifah. Pertikaman lidah berlaku antara Umayiddudin, Rukunuddin dan Abu Bakar di hadapan khalifah dalam mesyuarat yang dijalankan. Hal ini benar-benar memberikan satu tamparan yang hebat kepada Umayiddudin al-Aqami. Api dendam telah mula marak di hati menteri ini.

"Tidak mungkin aku menyerah. Aku tidak akan berdiam diri. Hutang darah perlu dibayar dengan darah. Hutang nyawa perlu dibayar dengan nyawa," tekad Umayiddudin untuk menewaskan musuhnya satu per satu.

Tiba-tiba, Umayiddudin al-Aqami mendapat satu idea untuk membalas dendam. Dia yakin itulah tindakan yang perlu diambil segera. Tindakan yang bakal membawa kepada satu bencana besar dalam kerajaan Bani Abasiyah...

04 May 2011

Sayang Si Ibu...


“Mak buat ape tu, goreng cekodok malam-malam ni?” tanyaku pelik.

“Macam tu la seorang mak yang sanggup buat ape saje untuk anak dia…Anak pulak camne?”

Aku terkesima saat mendengar omelan emak…Ada benarnya kata-kata emak itu. Seorang ibu sanggup buat apa sahaja asalkan anak-anaknya gembira dan bahagia. Biarlah dia seorang sahaja yang merasai sukarnya menanggung anak-anak yang sedang membesar terutamanya orang macam aku ni. Banyak songeh la katakan...

Emak terus menggoreng cekodok atas permintaan adik aku. Aku pulak tak terasa nak menolong pun...ya, mungkin juga terpanah dengan kata-kata si ibu yang penyayang itu. Aku berfikir dan terus berfikir...tak tahu apa yang difikirkan.

Adik terus makan cekodok dengan penuh berselera. Erm, mimpi apa la adik aku ni sampai nak makan cekodok malam-malam ni. Tadi baru je buka puasa, takkan la masih lapar lagi...sengaja nak bermanja-manja dengan emak la tu. Yelah, kami ni jarang-jarang dapat bermanja dengan emak sebab masing-masing belajar di universiti yang jauh dari emak. Adik di Perlis, seorang lagi di Ipoh, aku di Penang dan emak di Putrajaya. Sekarang ni cuti semester, baru la kami dapat berjumpa dengan emak. Sejak abah meninggal dunia, beginilah hidup kami...Kalau rindu pada emak dan nak berjumpa juga, nampaknya kena ke Putrajayalah kami. Emak tinggal dengan kakak sekaligus menjadi pengasuh cucu bongsu emak yang baru berusia 8 bulan. Alhamdulillah, Allah masih mempermudahkan urusan kami setakat ini. Moga Allah meluaskan rezeki kakak aku sekeluarga atas pengorbanannya terhadap emak.

Tak lupa juga kepada abang aku sekeluarga yang kini menggalas beban sebagai ketua keluarga kami sebagai pengganti arwah abah. Allah mengujinya apabila anak bongsunya sakit dan terpaksa dibedah. Lebih daripada RM2K terpaksa dikorbankan. Pasti dia merasai betapa peritnya menyara anak-anak sepertimana arwah abah dan emak juga. Moga Allah memberinya kesabaran yang banyak dalam menempuhi dugaan Allah yang hanya sedikit ini.

Teringat pula aku kepada abang aku yang jauh itu...aku siap kena marah lagi saat aku menolak tawaran UiTM untuk sambung degree di sana sebab katanya dia boleh 'support' yuran aku...tak sangka, penyayang jugak abang aku yang pada zahirnya nampak kasar...Dalam takde duit tu masih juga nak membantu kami adik-adiknya walaupun hanya RM10 je...Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari...Moga Allah mempermudahkan urusannya sebagaimana dia memudahkan urusan orang lain.

Beginilah sketsa kehidupan seorang insan yang bernama Masitah. Aku belum diuji dengan ujian yang sangat berat sehingga aku terduduk dan menangis sepertimana arwah abah dan emak dahulu. Aku yakin, arwah abah dan emak pasti pernah merasai keperitan yang lebih hebat daripada aku. Ujian yang besar pasti pernah singgah dalam kehidupan mereka. Mengingatkan itu, aku jadi kagum. Kagum dengan ketabahan mereka. Allah pasti melimpahkan kesabaran yang sangat besar kepada mereka dalam menempuhi segala-galanya. Moga Allah mengurniakan aku kesabaran yang lebih hebat dalam menempuhi dunia yang sangat mencabar saat ini dimana jahiliyah moden sangat berleluasa, jahiliyah yang lebih hebat berbanding jahiliyah di zaman Rasulullah SAW.

Ya Allah, ampunilah aku, kedua orang tuaku, adik-beradikku, sanak saudaraku, guru-guruku, sahabat-sahabatku serta seluruh muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Letakkanlah dunia hanya di tangan kami, bukannya di hati kami supaya kami tidak menyintainya dengan sangat...Perkenankanlah doa hambaMu ini ya Allah.

”Kamu buat ape tu Kakcik?” sapa emak.

”Takde mende mak, saje je menaip-naip...” jawabku spontan.

Lamunan aku terhenti saat mendengar laungan ibu yang kucintai itu. Aku segera menutup laptop dan berlalu ke birai katil usang emak. Emak kelihatan sangat letih...Rambut emak yang tinggal sedikit itu ku usap perlahan...sangat sedikit rambut emak yang berwarna putih, yang lain masih berwarna hitam...Emak cakap, jangan dicabut uban tu sebab ia adalah bunga-bunga syurga...Aku ketawa sendiri saat itu...gembira dan bersyukur kerana Allah mengurniakan aku seorang ibu yang sangat penyayang dan penyabar.

Hargailah kedua orang tua kita selagi mereka masih ada...